Gerakan mula langkah awal, kenal pasti kerusi boleh menang pada PRU16

Dominic Lau (tiga kanan) bersama kepimpinan Gerakan bergambar selepas mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Gerakan Johor, di Skudai, Johor Bahru pada Sabtu
Dominic Lau (tiga kanan) bersama kepimpinan Gerakan bergambar selepas mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Gerakan Johor, di Skudai, Johor Bahru pada Sabtu
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan memulakan gerak kerja awal mengenal pasti kerusi yang berpotensi dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) dan pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Presidennya, Datuk Dominic Lau Hoe Chai berkata, langkah itu perlu dibuat bagi memulihkan pemikiran masyarakat bukan Melayu yang telah terpedaya dengan penipuan Pakatan Harapan (PH) dan DAP, selama ini.

"Langkah ini juga diambil dalam menarik dan mengukuhkan sokongan masyarakat bukan Melayu khususnya Cina terhadap Perikatan Nasional (PN).

"Kita telah tubuhkan satu jawatankuasa khas untuk melakukan gerak kerja awal sebagai persediaan hadapi PRU dan PRN akan datang. Ini termasuklah pembukaan 'war room' yang kebiasaannya hanya dibuat setelah Parlimen dibubarkan," katanya

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Parti Gerakan Johor, Skudai di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong dan Naib Presiden Gerakan, Koo Shiaw Lee.

Beliau berkata, antara tujuan penubuhan jawatankuasa khas itu adalah mengenal pasti kerusi tumpuan yang boleh dimenangi calon Gerakan.

"Selain kerusi penyandang, kita juga akan lihat faktor kerusi campuran dan juga kerusi tewas tipis.

Artikel Berkaitan:

"Ini bermakna kerusi-kerusi di mana calon kita tewas dengan majoriti rendah sekitar 1,000 undi, kita akan tambah baik perkhidmatan dan kekuatan jentera di sana. Bagi kerusi kita tewas dengan majoriti besar, itu tidak akan menjadi kerusi tumpuan," katanya.

Tambah Dominic, pihaknya yakin sokongan masyarakat bukan Melayu terhadap PN khususnya Gerakan semakin meningkat selepas beberapa siri pilihan raya sebelum ini.

Justeru katanya, Gerakan akan perkuatkan komunikasi dan penerangan dengan masyarakat bukan Melayu.

"Langkah itu penting bagi membersihkan pemikiran masyarakat bukan Melayu yang telah lama di 'brain wash' oleh DAP selama ini.

"Mereka takutkan sekiranya PN perintah tidak boleh minum arak atau makan babi lagi, itu semua tidak benar. Kelantan dan Terengganu pun tidak halang," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan Gerakan kini mempunyai 300,000 ahli berdaftar di 174 bahagian dan 1,818 cawangan seluruh negara.