Pusat undi PRK Pulai, Simpang Jeram dibuka 8 pagi ini

Pengundi sudah mula beratur untuk menunggu giliran mengundi di
Saluran 1, pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan Seri Melati, Taman Melati, Tampoi, Johor Bahru pada Sabtu.
Pengundi sudah mula beratur untuk menunggu giliran mengundi di Saluran 1, pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan Seri Melati, Taman Melati, Tampoi, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 61 pusat pengundian dengan 362 tempat mengundi atau saluran dibuka serentak bermula 8 pagi ini, sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Ia melibatkan 47 pusat pengundian di Parlimen Pulai manakala 14 pusat pengundian di DUN Simpang Jeram dijadual ditutup pada 6 petang.

Berdasarkan data terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dikeluarkan semalam, seramai 205,810 pengundi berdaftar bakal menunaikan tanggungjawab pada hari ini.

Ia melibatkan sebanyak 165,509 pemilih berdaftar akan mengundi bagi Parlimen Pulai, sementara bagi DUN Simpang Jeram melibatkan 40,301 pengundi yang akan memilih wakil rakyat baharu untuk menggantikan penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada 23 Julai lepas.

Pengundian awal PRK Pulai telah berlangsung pada Selasa lepas (5 September) yang menyaksikan 831 pegawai dan anggota polis melaksanakan tanggungjawab mereka dengan jumlah peratusan keluar mengundi sebanyak 90 peratus.

Bagaimanapun, tiada pengundian awal untuk kerusi DUN Simpang Jeram.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, masing-masing akan menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas.

Calon PH, Suhaizan Kayat, Zulkifli Jaafar (PN) dan Samsudin Mohamad Fauzi (Bebas) akan berentap di kerusi Parlimen Pulai, manakala Nazri Abdul Rahman (PH), Dr Mohd Mazri Yahya (PN) dan S Jeganathan (Bebas) bakal merebut kerusi di DUN Simpang Jeram. - Bernama

Artikel Berkaitan: