Peristiwa 13 Mei: Pengajaran perlunya masyarakat bersatu padu

Peristiwa 13 Mei terus dikenang.
Peristiwa 13 Mei terus dikenang.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peristiwa berdarah rusuhan kaum paling dahsyat di negara ini pada 13 Mei 1969, perlu menjadi pengajaran betapa pentingnya masyarakat berbilang kaum di negara ini untuk terus bersatu padu dan hidup dalam harmoni.

Bagi felo utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong, pengajaran daripada peristiwa 50 tahun lepas itu penting bukan untuk rakyat sahaja dari segi kerukunan, namun bagi meningkatkan kemajuan negara.

"Peristiwa 13 Mei memberi peringatan tentang kebenaran peribahasa kalah jadi abu, menang jadi arang kerana konflik itu merugikan semua kaum, selain menjejaskan imej negara di persada antarabangsa," katanya kepada Bernama.

Katanya, kejadian itu turut menuntut keperluan menghormati kontrak sosial (kini Perlembagaan Persekutuan) tentang agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa kaum Melayu dan kelompok asal Sabah dan Sarawak, serta kedaulatan raja Melayu.

"Peristiwa ini perlu selalu diperingat kepada rakyat agar kita semua bukan sahaja perlu muhasabah diri pada setiap masa, lebih penting lagi ialah kita hendaklah memastikan ia tidak berulang lagi dengan menentukan hubungan etnik sentiasa baik," tambahnya.

No Image Caption

Bagaimanapun, Teo tidak menolak keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini boleh kembali terjejas dengan perkembangan etnopopulisme, iaitu fahaman yang mengarah kepada pembahagian masyarakat kepada dua kelompok berdasarkan kaum dan agama, yang berpotensi bersengketa antara satu sama lain.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, politik yang diamalkan mana-mana pihak di negara ini sebaliknya perlu memberi perhatian utama kepada soal perpaduan kaum yang harus dipertingkatkan di Semenanjung Malaysia dan integrasi wilayah yang lebih baik antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed juga senada mahu ahli politik berhenti memainkan sentimen perkauman dan menyentuh isu-isu sensitif yang boleh membangkitkan ketegangan dalam negara.

Beliau berkata dalam usaha mengekang rusuhan kaum daripada kembali berulang, pihak kerajaan juga perlu mengambil tindakan tegas dan segera terhadap pihak yang membangkitkan sentimen perkauman dan menghina agama.

"Dalam era teknologi masa kini, ada segelintir individu yang memberi komen-komen melampau dalam media sosial, jika tidak diambil tindakan tegas terhadap mereka, ini akan menyebabkan individu lain melakukan perkara sama dan tindakan provokatif sebegini amat berbahaya kepada keharmonian negara," katanya.

No Image Caption

Selain itu, kerajaan perlu terus meningkatkan usaha memperkasa orang Melayu dan bumiputera terutama golongan berpendapatan rendah dalam pelbagai bidang, serta merapatkan jurang ekonomi antara kaum.

"Antara punca berlakunya peristiwa 13 Mei adalah kerana orang Melayu berasa mereka tertinggal jauh di belakang dalam bidang ekonomi, lalu diperkenalkan Dasar Ekonomi Baru," katanya sambil menambah bantuan terhadap bukan Melayu yang memerlukan juga tidak boleh diabaikan.

Berdasarkan angka rasmi peristiwa yang terpahat sebagai sejarah hitam negara itu, dari 13 Mei hingga 31 Julai 1969, mencatatkan 196 orang kehilangan nyawa, walaupun terdapat pihak yang menganggarkan jumlah kematian adalah lebih tinggi.

Dilaporkan, kejadian selepas berlangsungnya Pilihan Raya Umum ketiga itu juga menyebabkan kira-kira 6,000 orang kehilangan tempat tinggal dan sekurang-kurangnya 211 kenderaan musnah atau rosak serta 753 bangunan rosak atau terbakar. - Bernama