'Biasalah parti politik cakap lebih sikit' - Hajiji

Hajiji ketika mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Parti Gagasan Rakyat di Kota Kinabalu.
Hajiji ketika mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Parti Gagasan Rakyat di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) tidak tergugat dengan keyakinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mendakwa mampu merampas Sabah dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau yakin dengan keahlian yang kini sudah pun mencecah sehingga 300,000 orang, bukti bahawa parti itu mendapat sambutan daripada rakyat selepas ditubuhkan sejak tujuh bulan lalu.

"Ini cita-cita besar mereka, biarkan mereka. Jadi kita tunggu saja nanti.

"Kita tidak tergugat kalau tengok dari keahlian, sambutan Gagasan Rakyat cukup hebat di Sabah, bayangkan kalau kita dapat 300,000 ahli dalam beberapa bulan setelah ditubuhkan.

"Jadi biasalah parti-parti politik ini ada yang bercakap lebih-lebih sikit untuk meyakinkan rakyat tetapi biar rakyat menentukan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Parti Gagasan Rakyat di sini, pada petang Jumaat.

Hajiji yang juga Ketua Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Bersatu Sabah, Abdul Kadir Damsal yang yakin bahawa partinya itu akan mampu merampas semula Sabah dan kerusi yang hilang akibat pengkhianatan yang berlaku pada tahun lalu.

Sebelum itu, dalam mesyuarat berkenaan, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memaklumkan bahawa Gagasan Rakyat memutuskan untuk mengadakan mesyuarat di seluruh bahagian di Sabah.

"Dalam mesyuarat ini kita telah memutuskan bahawa mesyuarat bahagian-bahagian di 73 bahagian Sabah akan bermula pada 23 September hingga 15 Oktober dan mesyuarat perhimpunan agung parti ini yang pertama akan diadakan pada 14 November di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Artikel Berkaitan:

"Kita juga telah selesai mengadakan mesyuarat di cawangan seluruh Sabah. Kita juga bersetuju untuk menubuhkan bahagian parti ini di Labuan dan kita sudah melantik seorang ketua bahagian," katanya.