Penduduk puas hati komitmen AKSB bekal air bersih

Loji Rawatan Air Mini Teluk Mesira telah memberikan manfaat kepada 832 akaun pengguna. Gambar kecil: Huai Chu
Loji Rawatan Air Mini Teluk Mesira telah memberikan manfaat kepada 832 akaun pengguna. Gambar kecil: Huai Chu
A
A
A

BACHOK - Penduduk di sekitar Taman Teluk Mesira di sini, amat berpuas hati dengan komitmen Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang telah menyediakan bekalan air berkualiti dan bersih kepada kawasan kediaman mereka.

AKSB dalam satu kenyataan berkata, ini susulan Loji Rawatan Air Mini Teluk Mesira telah pun beroperasi sepenuhnya bermula April 2022.

“Loji yang berkapasiti dua juta liter sehari (JLH) itu dapat membekalkan air bersih kepada sejumlah 832 akaun pengguna meliputi kawasan Teluk Mesira, Taman SPP, Kampung Jembal dan Kampung Tok Jawa.

“Turut menerima manfaat tersebut ialah penduduk Kampung Budi, Kampung Pintu Gerbang, Kampung Wakaf Zin, Kampung Desa Kerian, Kampung Dusun Durian, Kampungg Chicha Menyabung dan Kampung Gajah Mati,” jelas kenyataan itu pada Jumaat.

Menurut AKSB, Loji Rawatan Air Mini Teluk Mesira mendapat peruntukan kerajaan negeri Kelantan dengan kos pembinaan sebanyak RM2.75 juta menggunakan proses NR Cavitation dalam memastikan kualiti air bersih yang dibekalkan adalah terbaik untuk penduduk sekitar.

“Syarikat AKSB terus komited dalam memastikan setiap projek pembinaan loji mini atau loji rawatan air yang baharu menepati jadual pelaksanaan agar bekalan air bersih berkualiti dapat dinikmati oleh penduduk Kelantan amnya,” kata kenyataan itu

Sementara itu, salah seorang penduduk Taman Teluk Mesira, Lua Huai Chu berpuas hati dengan bekalan air bersih sekarang.

“Selepas loji tersebut siap, rumah penduduk di taman perumahan di kawasan ini tiada lagi mengalami masalah bekalan air,” katanya.

Artikel Berkaitan: