Balu tahanan mati dalam lokap terima ganti rugi RM446,780

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan kerajaan Malaysia membayar ganti rugi berjumlah RM446,780 kepada balu dan anak seorang pembantu warung yang meninggal dunia ketika berada dalam tahanan polis pada 2017.

Pesuruhjaya Kehakiman, Wan Fadhilah Wan Idris membuat keputusan itu selepas membenarkan saman yang difailkan isteri sah M Segar, 46, iaitu M Vimala Devy dan anaknya, S Thusataran, 23, terhadap defendan berhubung kecuaian berlaku ketika lelaki itu berada dalam tahanan reman di lokap Ibu Pejabat Daerah (IPD) Port Dickson.

Wan Fadhilah berkata, setelah mendengar keterangan saksi, hujahan kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tuntutan plaintif ke atas defendan dengan kos sebanyak RM20,000.

"Mahkamah mengambil kira keterangan saksi pakar iaitu doktor yang melakukan bedah siasat ke atas si mati bahawa kecederaan ke atas si mati yang membawa kepada kematiannya berlaku semasa si mati berada di dalam tahanan pihak polis iaitu di lokap IPD Port Dickson sewaktu ditahan reman," katanya pada prosiding di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, mahkamah berpandangan pihak polis bertanggungjawab ke atas kematian si mati yang berlaku semasa dia berada di dalam kawalan pihak polis.

"Dengan itu, mahkamah membenarkan tuntutan ganti rugi kepada balu plaintif, M Vimala Devy berjumlah RM446,780," katanya.

Jumlah tersebut membabitkan ganti rugi kedukacitaan sebanyak RM63,000, ganti rugi kehilangan tanggungan (RM3,780), ganti rugi perbelanjaan pengebumian (RM30,000), ganti rugi Misfeasan pegawai (RM150,000) dan ganti rugi teruk (aggravated) berjumlah RM200,000.

Responden juga diperintahkan untuk membayar plaintif sebanyak lima peratus kadar faedah mulai 30 Mac 2020 sehingga tarikh bayaran.

Artikel Berkaitan:

Pihak plaintif diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris manakala pihak defendan iaitu kerajaan Malaysia diwakili peguam, Shah Wira Abdul Halim.

Haresh berkata, hasil bedah siasat menunjukkan mangsa mempunyai kesan lebam di badan seperti dipukul dengan alat tumpul.

Ketika kejadian, lelaki itu berumur 46 tahun dan bekerja sebagai pembantu gerai warung manakala Vimala Devy berumur 44 tahun dan tidak bekerja serta mempunyai seorang anak lelaki.

Sebelum ini pada 2017, media melaporkan seorang lelaki yang ditahan disyaki berkaitan kes penyalahgunaan dadah, ditemui mati dalam lokap IPD Port Dickson.

Ketua Polis Daerah Port Dickson ketika itu, Superintendan Adzli Abu Shah berkata, lelaki tersebut ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam lokap dalam kejadian pada jam 1.55 pagi.