Israel guna pertandingan nyanyian Eurovision sebar propaganda

Kapsyen yang merujuk Baitulmaqdis sebagai ‘ibu negara tercinta’ kami telah mencetuskan kritikan Palestin.
Kapsyen yang merujuk Baitulmaqdis sebagai ‘ibu negara tercinta’ kami telah mencetuskan kritikan Palestin.
A
A
A

RAMALLAH - Pihak Berkuasa Palestin (PA) semalam menggesa visual Baitulmaqdis dikeluarkan daripada video yang mempromosikan pertandingan nyanyian antarabangsa, Eurovision kerana didakwa sebagai propaganda rejim Zionis.

Jumaat lalu, menerusi klip yang disiarkan stesen penyiar Israel, KAN yang bertujuan untuk menarik kunjungan pelancong, ia turut memaparkan kawasan pekarangan Masjid al-Aqsa.

Selain itu, ia juga merujuk Baitulmaqis sebagai ‘ibu negara tercinta kami’ walaupun Palestin telah menyuarakan hasrat mereka untuk menjadikan sektor timur Kota Lama itu sebagai ibu negara mereka pada masa depan.

Kementerian Luar Palestin berkata, Israel menggunakan pertandingan nyanyian itu untuk memperkukuhkan lagi pendudukan mereka di Baitulmaqdis Timur yang diduduki selepas Perang Enam Hari 1967.

“Bahan promosi yang diterbitkan dalam konteks pertandingan Eurovision itu dan diluluskan Kesatuan Penyiaran Eropah (EBU) sememangnya tidak boleh diterima,” katanya.

Jelas kementerian itu lagi, mereka telah menghubungi EBU tentang ‘bahan propaganda’ tersebut yang telah memadamkan Palestin daripada peta.

Eurovision bakal berlangsung selama lima hari bermula esok dan Tel Aviv dipilih untuk menganjurkan pertandingan tersebut selepas kemenangan penyanyi dari Israel, Netta Barzilai pada tahun lalu. - AFP

Artikel Berkaitan: