Nelayan asing bawah umur antara lima ditahan

Lima nelayan warga asing ditahan kerana tiada dokumen diri yang sah.
Lima nelayan warga asing ditahan kerana tiada dokumen diri yang sah.
A
A
A

GEORGETOWN - Lima nelayan warga Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang ketika melakukan aktiviti tangkapan ikan di kawasan perairan Malaysia pada 6 September lalu.

Pemangku Pengarah Maritim Pulau Pinang, Komander Maritim S Nak Rong berkata, kesemua nelayan asing itu ditahan ketika berada di dalam sebuah bot warga asing yang tiada nombor pendaftaran.

Menurutnya, bot dan nelayan asing tersebut ditahan pada kedudukan 37 batu nautika barat daya Pulau Kendi.

Bot warga asing turut dirampas untuk tindakan lanjut.
Bot warga asing turut dirampas untuk tindakan lanjut.

"Ketika proses penggeledahan dan pemeriksaan, kita menahan lima nelayan asing berusia lingkungan 12 hingga 35 tahun. Mereka didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Semua nelayan tersebut termasuk nelayan bawah umur direman selama 14 hari bagi membantu siasatan, manakala bot serta hasil tangkapan ikan dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelasnya, semua nelayan asing itu akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan atau cubaan menangkap ikan di dalam perairan Malaysia dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki permit atau pas yang sah.