Penganalisis ramal PH-BN kekal mandat di Selangor, NS, Pulau Pinang

Anwar pada Ceramah Jelajah Perpaduan Madani di Guar Perahu malam Sabtu. - Foto Bernama
Anwar pada Ceramah Jelajah Perpaduan Madani di Guar Perahu malam Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selain mendapat sokongan kempen pemimpin utama parti sepanjang tempoh pilihan raya yang hangat ketika ini, Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) yang membentuk Kerajaan Perpaduan diramal akan terus memperoleh sokongan pengundi bagi mengekalkan mandat di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Berdasarkan gerak kerja kempen yang agresif termasuk ceramah dan lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi PH, manifesto yang ditawarkan dan disulami dengan trek rekod pencapaian dilakar kerajaan negeri, penganalisis dan pemerhati politik berpandangan PH-BN mempunyai kelebihan untuk menang di ketiga-tiga negeri itu, biarpun gabungan itu berdepan tentangan sengit Perikatan Nasional (PN).

Pertembungan merebut 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan di Selangor, 36 (Negeri Sembilan) dan 40 kerusi di Pulau Pinang, tampak pertandingan adalah lebih tertera antara blok PH-BN dengan PN.

Penyertaan parti lain seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Parti Utama Rakyat (PUR) dan Penang Front Party (PFP) setakat ini tidak dapat memberi cabaran kepada PH-BN dan PN.

Menyingkap tempoh seminggu berkempen, Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Prof Madya Dr Hamdan Mohd Salleh berkata, kerjasama PH-BN dijangka boleh menguasai Selangor dengan selesa, mengambil kira koordinasi dan gerak kerja parti yang baik serta tersusun antara jentera kedua-dua blok politik.

Beliau meramalkan gabungan PH-BN boleh memenangi 34 kerusi menghampiri majoriti dua pertiga iaitu 37 daripada keseluruhan 56 kerusi, termasuk di 10 DUN seperti Sabak, Hulu Bernam, Sungai Burong, Bukit Melawati, Kuang, Taman Templer, Hulu Kelang, Lembah Jaya, Paya Jaras dan Pelabuhan Klang yang menerima tentangan sengit daripada PN.

Analisis dan pemerhatian Hamdan turut diperkuat oleh Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Dr Yaakob Sapari yang berpandangan, setakat ini di atas kertas, gandingan PH-BN boleh memenangi 36 kerusi manakala Pengarah Pilihan Raya PN Selangor, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi turut yakin gabungan parti itu boleh membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah iaitu 29 kerusi.

Hamdan berkata, kehadiran Pengerusi PH membantu kempen calon di Selangor memberi impak besar kepada peralihan sokongan pengundi termasuk atas pagar dan dalam masa sama meningkatkan moral jentera parti untuk lebih bekerja keras memenangkan calon.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (tengah) semasa Majlis Pelancaran Tawaran Kita Selangor:5 Tekad Untuk 5 Tahun sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di Shah Alam pada 31 Julai lalu.- Foto Bernama
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (tengah) semasa Majlis Pelancaran Tawaran Kita Selangor:5 Tekad Untuk 5 Tahun sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di Shah Alam pada 31 Julai lalu.- Foto Bernama

Kempen yang bermula sebaik selesai proses penamaan calon pada 29 Julai digunakan sepenuhnya calon dengan program bertemu pengundi antaranya di pasar dan kedai makan, malah tidak ketinggalan bertemu jentera di bilik gerakan parti masing-masing.

Dimanfaatkan sebaik mungkin, kempen menerusi platform media sosial seperti Facebook, Instagram, X (Twitter) dan TikTok turut dilakukan calon dan jentera parti untuk menyampaikan misi dan visi masing-masing.

Berbaki lima hari lagi iaitu tempoh bagi pecutan terakhir sebelum pengundian pada 12 Ogos ini, corak kempen calon bertanding semakin padat bermula sebaik terbit matahari sehingga tengah malam dengan pelbagai aktiviti disusun sebaik mungkin untuk memenangi hati pengundi.

Bagi ketiga-tiga negeri berkenaan, pengerusi parti-parti negeri PH-BN melaporkan kebanyakan calon berjaya meliputi hampir 80 peratus kawasan untuk mendekati pengundi dan menjelaskan sendiri misi dan visi mereka dalam tempoh kempen seminggu lepas.

Sepanjang tempoh itu, tiada isu-isu besar yang mendominasi kempen PH-BN dan PN, dan kempen lebih meliputi soal tawaran dan visi untuk membangunkan negeri.

Senario sama di Negeri Sembilan dengan PH-BN turut diramal penganalisis politik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faizal Kasmani, tidak berdepan masalah untuk membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya negeri (PRN) ini berdasarkan trek rekod serta pengalaman parti itu dalam mentadbir kerajaan negeri sebelum ini.

Malah, keyakinan Pengerusi PH negeri yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bahawa gandingan parti Kerajaan Perpaduan itu mampu memperoleh majoriti lebih dua pertiga, memperkukuh lagi ramalan Mohd Faizal.

"Ada satu, dua agak kelabu pada peringkat awal kerana timbul sedikit salah faham komunikasi tetapi sekarang nampak ada sinar ... kita fokus kawasan berkenaan, menjelang dua tiga hari nanti, ia akan berubah ... kita (PH) cuba pertahankan 19 kerusi manakala BN juga yakin peroleh 17 kerusi,” kata Aminuddin.

Senario sama di Negeri Sembilan turut diramal penganalisis politik, tidak berdepan masalah untuk membentuk kerajaan negeri pada PRN ini. - Foto Bernama
Senario sama di Negeri Sembilan turut diramal penganalisis politik, tidak berdepan masalah untuk membentuk kerajaan negeri pada PRN ini. - Foto Bernama

Majoriti mudah DUN Negeri Sembilan ialah 19 kerusi, manakala dua pertiga ialah 24 kerusi daripada keseluruhan 36 kerusi.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian, yang mengikuti perkembangan PRN di Pulau Pinang berkata, setakat ini, gandingan PH-BN dilihat masih mendahului 'perlumbaan' di Pulau Mutiara, yang memiliki 1.2 juta pengundi berdaftar dengan pengundi berusia 18 hingga 39 tahun berjumlah 539,977 orang.

Beliau berkata, kempen fasa kedua merupakan tempoh 'kritikal' kepada parti dan individu bertanding khususnya 72 jam terakhir untuk menyakinkan seberapa ramai pengundi atas pagar, memandangkan kumpulan ini cenderung membuat keputusan pada saat akhir.

Berdasarkan kepada pemerhatian di kawasan yang dilawati, Pengerusi PH Pulau Pinang yang juga Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yakin 95 peratus pengundi menyokong PH dan optimis gabungan berkenaan mampu mempertahankan negeri itu dengan keyakinan boleh memenangi 32 kerusi.

Timbalan Pengerusi PN Pulau Pinang yang juga Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong berkata, kempen yang dilaksanakan gabungan itu setakat ini menerima sambutan positif daripada kalangan pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya negeri di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu serta Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos ini. - Bernama

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!