Misi penting Harimau Muda

Skuad Harimau Muda berlepas ke Chonburi untuk menghadapi aksi Kelayakan Piala Asia B-23 2024. - Foto FAM
Skuad Harimau Muda berlepas ke Chonburi untuk menghadapi aksi Kelayakan Piala Asia B-23 2024. - Foto FAM
A
A
A

SKUAD Bola Sepak Bawah 23 tahun (B-23) terbang ke Chonburi, Thailand membawa misi besar untuk mara ke Piala Asia B-23 tahun depan.

Selepas dikritik susulan persembahan hambar di Sukan SEA Kemboja dan gagal mencapai sasaran di Piala AFF B-23 baru-baru ini, Harimau Muda tekad tampil dengan persembahan yang lebih baik pada Kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Chonburi itu.

Pengurus skuad B-23, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, pemain yang dibawa kali ini juga berpengalaman dan yakin skuad muda negara akan dapat meraih tiket ke Piala Asia di Doha tahun depan.

"Kalau kita lihat daripada senarai akhir pemain yang kita keluarkan, rata-rata pemain yang kita ada berpengalaman walaupun mereka masih muda.Pemain-pemain ini dapat pendedahan yang banyak dalam Liga Super.

"Ramai pemain yang kita ada ini juga beberapa kali pernah bermain bersama pasukan senior di bawah kendalian Kim Pan-gon. Jadi, sistem, corak permainan dan sebagainya ketika dalam latihan amat positif.

"Walaupun dalam kumpulan ini ada Bangladesh dan Filipina yang kita tidak boleh perkecilkan kemampuan mereka, saya yakin pasukan ini akan layak ke pusingan akhir tahun depan di Doha," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang pada Isnin.

Malaysia diundi dalam Kumpulan H dan akan berdepan Bangladesh pada Rabu, Filipina (Sabtu) dan tuan rumah, Thailand (Selasa depan) dengan ketiga-tiga perlawanan berlangsung di Stadium Chonburi.

11 pasukan juara kumpulan dalam saingan kelayakan bersama-sama empat pasukan tempat kedua kumpulan terbaik dan tuan rumah, Qatar akan layak beraksi di Piala Asia B-23 2024 yang akan berlangsung di Doha tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau juga yakin Luqman Hakim Shamsudin dan Nooa Hamzah Laine tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan pasukan Harimau Muda walaupun tidak turut serta dalam kem latihan.

Luqman Hakin yang kin beraksi bersama kelab Iceland, Njardvik FC bakal menyertai pasukan di Chonburi pada Isnin, manakala Nooa pula akan tiba malam esok selepas berakhirnya perlawanan bersama kelabnya SJK Seinajoki FC di Finland petang ini.

"Luqman saya tak risau sebab Luqman ada sertai dua hingga tiga kem sebelum ini. Nooa bukan saya risau, dia pemain yang serba boleh di mana banyak pendedahan di Eropah dan liga-liga yang besar.

"Saya yakin Nooa takkan ambil masa yang lama untuk mendapat keserasian dengan rakan yang lain, Insya-ALLAH," katanya.