'Peperiksaan akhir' buat Harimau Muda

Sikh Izhan Nazrel ketika sesi latihan bersama para pemain Harimau Muda B-23 negara. - Foto FAM
Sikh Izhan Nazrel ketika sesi latihan bersama para pemain Harimau Muda B-23 negara. - Foto FAM
A
A
A

KEMPEN Kelayakan Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) 2024 di Chonburi, Thailand disifatkan sebagai peperiksaan akhir kepada skuad Harimau Muda.

Penjaga gol skuad B-23 tahun negara, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman berkata, Harimau Muda telah banyak belajar daripada kekecewaan terutama pada Sukan SEA Kemboja dan Kejuaraan AFF B-23 baru-baru ini.

Menurutnya, skuad negara perlu mengambil peluang untuk layak ke Piala Asia terutama apabila memiliki peluang cerah selepas diundi dalam kumpulan H bersama Bangladesh, Filipina dan tuan rumah, Thailand.

Dia juga mengharapkan agar Harimau Muda mampu untuk mengatasi Thailand selepas tewas kepada pasukan itu dalam dua perlawanan terakhir di Sukan SEA dan Kejuaraan AFF.

"Kalau kita tengok, ini umpama peperiksaan akhir buat pasukan B-23. Kita dah jumpa Thailand di Sukan SEA dan di Kejuaraan AFF.

"Jadi, kita dah belajar dan tidak boleh tewas lagi dalam perlawanan ini. Kalau dua game dah kalah, satu game ini kena menang atau seri," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang pada Isnin.

Dalam pada itu, dia yakin skuad Harimau Muda akan bangkit dalam kempen kelayakan itu sekali gus meraih tiket ke Piala Asia selain cuba mendapatkan slot ke Olimpik.

"Jadi saya harap AFC (Kelayakan Piala Asia B-23) yang ini akan berhasil, kita nak sasarkan ke tahun depan ke pusingan berikutnya (layak ke Piala Asia B-23 di Qatar), dan Olimpik (Sukan Olimpik) tahun depan," katanya.

Artikel Berkaitan: