Ronaldo belum 'puas'

Ronaldo (tiga dari kanan) menjalani latihan bersama rakan sepasukan Portugal di Oeiras pada Rabu. - Foto EPA
Ronaldo (tiga dari kanan) menjalani latihan bersama rakan sepasukan Portugal di Oeiras pada Rabu. - Foto EPA
A
A
A

BINTANG Portugal, Cristiano Ronaldo meluahkan rasa belum puas dengan kejayaan dan rekod yang dikecapinya selepas muncul pemain pertama menjaringkan 850 gol dalam kariernya ketika bersama kelab Arab Saudi, Al-Nassr.

“Selagi bermain, saya mahu menetapkan sasaran paling tinggi. Saya perlu berfikiran luas.

“Saya mahu lebih lagi,” katanya sebelum menjalani latihan bersama pasukan kebangsaan di Oeiras, bandar pinggir Lisbon, menjelang aksi kelayakan Euro 2024.

Pemain berusia 38 tahun itu merekodkan aksi antarabangsa ke-200 Jun lalu dengan menjaringkan gol tunggal kemenangan Portugal ke atas Iceland sekali gus membantu Selecao kekal di tangga teratas Kumpulan J kelayakan Euro 2024.

Juara Eropah 2016 itu akan berdepan Slovakia di Bratislava pada Sabtu dan menentang Luxembourg tiga hari kemudian di Stadium Algarve, selatan Portugal.

“Saya benar-benar mahu menang dua perlawanan ini. Jika menang, kami secara praktikalnya layak,” kata pemenang Ballon d'Or lima kali itu.

Mengulas perseteruannya dengan kapten Argentina, Lionel Messi, Ronaldo menjelaskan mereka saling menghormati antara satu sama lain, malah juga percaya mereka sudah "mengubah sejarah bola sepak."

Ronaldo yang beraksi buat tahun ke-20 bersama skuad kebangsaannya turut meluahkan rasa bangga mengenai 'keupayaannya bertahan lama' dan masih dahagakan kejayaan termasuk menyasarkan untuk mengungguli kempen Euro.

Artikel Berkaitan:

“Saya mahu meneruskannya kerana berasa bagus serta berguna, tetapi apa sahaja boleh berlaku,” katanya.