Kes Ahmad Zahid: Pengguguran kes cetus krisis kepercayaan rakyat

Wan Rohaimi
Wan Rohaimi
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan pihak pendakwaan menarik balik kes rasuah membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas mahkamah memutuskan wujudnya kes prima facie dibimbangi akan mengundang krisis kepercayaan rakyat terhadap institusi keadilan.

Pengerusi Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) Pas, Wan Rohimi Wan Daud berkata, keputusan itu sekali gus mengesahkan persepsi negatif tentang campur tangan politik atau 'grand scheme of things' yang disusun bagi membebaskan Ahmad Zahid.

"Hal ini susulan pengumuman persaraan bersama-sama cuti sebelum bersara dua individu yang mempunyai peranan penting dalam kes ini iaitu ketua pasukan pendakwaan bagi kes Ahmad Zahid, Datuk Raja Rozela Raja Toran dan juga Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun di tengah-tengah perjalanan kes.

"Tempoh waktu pasukan pendakwaan memohon untuk Ahmad Zahid dilepaskan tanpa dibebaskan juga dibuat ketika peralihan jawatan antara peguam negara yang lama kepada peguam negara baharu, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, di mana pelantikannya berkuat kuasa pada 6 September 2023," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Isnin lalu, Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat itu.

Pihak pendakwaan juga telah mengemukakan 11 alasan menghentikan prosiding kes berkenaan antaranya berkenaan dakwaan Ahmad Zahid dalam surat-surat representasinya bahawa beliau adalah mangsa pendakwaan terpilih kerajaan sebelum ini.

Wan Rohimi menegaskan, selepas meneliti 11 alasan yang diberikan oleh pasukan pendakwaan untuk menarik balik kes itu, Luham berpandangan alasan dikemukakan adalah tidak konsisten dengan fakta yang telah diterima oleh mahkamah, tidak kukuh dan bertujuan untuk mengelabui pandangan masyarakat awam.

Artikel Berkaitan:

"Pertamanya, pihak pendakwaan telah merujuk kepada surat representasi menyentuh isu siasatan yang dikatakan telah dibuat secara terburu-buru, cuai, pramatang dan tidak lengkap.

"Alasan ini adalah sangat lemah kerana bukti dan saksi yang telah dikemukakan oleh pihak pendakwaan telah diterima oleh mahkamah sehingga kes prima facie berjaya dibuktikan.

"Jika siasatan kurang masak dan Ahmad Zahid didakwa tanpa bukti yang kukuh, sudah pasti mahkamah akan membuang kes ini sejak dari peringkat kes pendakwaan lagi," ujarnya.

Menurut Wan Rohimi, pihak pendakwaan dalam alasannya turut menyatakan isu siasatan yang dikatakan tidak lengkap itu akan menyebabkan reputasi dan nama baik Jabatan Peguam Negara (AGC) selaku pihak pendakwaan serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selaku badan penyiasat tercemar dan dilihat melalui kaca mata umum seolah-olah kedua-dua jabatan itu merupakan institusi undang-undang yang telah diperalatkan oleh pihak tertentu.

Katanya, alasan tersebut tidak boleh diterima sama sekali memandangkan orang yang dituduh adalah seorang Timbalan Perdana Menteri.

"Penarikan balik kes ini akan lebih menjejaskan reputasi institusi keadilan dan mengundang tohmahan campur tangan pihak tertentu.

"Luham turut merasa jelik dengan alasan pihak pendakwaan yang bersandarkan kepada pengumuman Jemaah Menteri untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu-isu yang dibangkitkan dalam buku memoir bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bertajuk 'My Story: Justice In the Wilderness'.

"Penubuhan RCI dan perjalanan kes ini adalah dua perkara yang berbeza, apatah lagi dalam keadaan belum kelihatan tanda-tanda RCI tersebut akan bermula dalam masa yang terdekat," jelasnya.

Wan Rohimi memberitahu, siasatan RCI tidak sepatutnya dijadikan alasan dalam keadaan 47 kes Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu sudah melepasi peringkat prima facie dan beliau masih ada peluang untuk membela diri di hadapan mahkamah dengan menggunakan bukti-bukti baru yang dikemukakan dalam surat representasi.

"Luham kesal kerana penarikan balik kes ini menjejaskan kesemua 47 pertuduhan sekali gus menafikan kerja keras pasukan pendakwaan terdahulu yang telah mengemudi kes sehingga ke tahap ini.

"Kes yang membabitkan sosok individu yang berjawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri ini pastinya akan mencemarkan imej dan nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa," tambahnya.

Ujar Wan Rohimi, keresahan rakyat ketika Ahmad Zahid dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri suatu ketika dahulu telah terbukti kebenarannya.

"Tindakan pihak pendakwaan menarik balik kes ini selepas kejayaan pembuktian prima facie, adalah satu sejarah hitam buat negara," katanya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Pendakwaan mahu hentikan prosiding kes terhadap Ahmad Zahid

Kes Zahid: Muda adakan mesyuarat tergempar - Syed Saddiq

Kes Zahid: Rasuah Busters tuntut kerajaan kotakan kata

Kes Zahid: Pimpinan Kerajaan Perpaduan perlu nyatakan pendirian - Muda

Kes Ahmad Zahid: Gerakan tuntut penjelasan

Kes Zahid: Muhyiddin persoal tindakan Peguam Negara

Idrus Harun diminta beri penjelasan kes Ahmad Zahid - Anthony Loke

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!