Kertas siasatan Abdul Hadi diserah kepada Pejabat Peguam Negara

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kertas siasatan membabitkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataan beliau yang mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, pada Khamis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas siasatan itu telah lengkap, sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

"Kertas siasatan Abdul Hadi itu telah diserahkan kepada Pejabat Negara pagi tadi kita menunggu tindakan selanjutnya," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis penutup Simposium Forensik Kebangsaan ke-4 2023 di Maktab Polis Diraja Malaysia, di sini, pada Khamis.

Pada Isnin, media melaporkan polis merekod keterangan Abdul Hadi berhubung kenyataannya dalam ceramah di markas parti itu di Bakri, Muar, Johor, bulan lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, Abdul Hadi hanya menjawab lima daripada 24 soalan daripada pihak polis.

Ketika proses rakaman percakapan tersebut, Abdul Hadi memilih untuk menjawab baki 19 soalan polis di mahkamah.

Abdul Hadi disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Berhubung siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan kenyataannya yang dikatakan menghina institusi diraja, Razarudin berkata, kertas siasatan itu juga telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara pada Selasa lalu.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Abdul Hadi hanya jawab 5 daripada 24 soalan - Ayob Khan

Polis ambil masa sejam rakam keterangan Abdul Hadi

Abdul Hadi disiasat dakwaan pertikai kuasa Lembaga Pengampunan