Abdul Hadi hanya jawab 5 daripada 24 soalan - Ayob Khan

Ayob Khan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini. - Foto Bernama
Ayob Khan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang hanya menjawab lima daripada 24 soalan Polis Diraja Malaysia berhubung kenyataan beliau yang didakwa mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di markas parti itu di Bakri, Muar, bulan lalu.

Keterangan Abdul Hadi dirakam oleh seorang pegawai penyiasat daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di Ibu Pejabat Pas Pusat di sini, pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ketika proses rakaman percakapan tersebut, Abdul Hadi memilih untuk menjawab baki 19 soalan polis itu di mahkamah.

"Beliau (Abdul Hadi) disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Isnin.

Ayob Khan berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

"Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) siasatan kes berkaitan 3R (kaum, agama, institusi raja) tempoh siasatan oleh polis adalah dalam masa seminggu sebelum diserahkan kepada pejabat Peguam Negara.

"Keputusan sama ada beliau akan dituduh di mahkamah adalah bergantung kepada penilian pejabat Peguam Negara," katanya.

Pada Isnin, media melaporkan pegawai penyiasat tiba di Ibu Pejabat Pas Pusat pada jam 11.15 pagi dan dilihat meninggalkan bangunan tersebut pada jam 12.50 tengah hari.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha Politik kepada Abdul Hadi, Mohd Syahir Che Sulaiman dilaporkan berkata, proses rakaman keterangan itu mengambil masa selama sejam dan berjalan lancar.

Abdul Hadi ditemani seorang peguam semasa proses rakaman keterangan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya jika perlu dirakam keterangan susulan.