Pas pecat ahli tanding Bebas - Abdul Hadi

Abdul Hadi (dua dari kanan) bersama Mahathir (dua dari kiri) pada program Townhall Bicara Negarawan dan Agamawan Untuk Rakyat Malaysia di Dewan Konvensyen I-City.
Abdul Hadi (dua dari kanan) bersama Mahathir (dua dari kiri) pada program Townhall Bicara Negarawan dan Agamawan Untuk Rakyat Malaysia di Dewan Konvensyen I-City.
A
A
A

SHAH ALAM - Pas mengingatkan ahli parti itu yang bertanding sebagai calon Bebas boleh dikenakan tindakan tegas termasuk dipecat daripada parti.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ia kerana tindakan berkenaan dianggap melanggar disiplin parti.

"Semua nama (calon) dihantar ke pusat, calon-calon diuruskan oleh dewan ulamak dan kita fikirkan calon mana kita hendak pilih.

"Yang penting disiplin parti (kena) ikutlah, kalau tidak ikut automatik dipecat, kita pecat," katanya pada program Townhall Bicara Negarawan dan Agamawan Untuk Rakyat Malaysia di Dewan Konvensyen I-City di Seksyen 7 di sini pada Rabu.

Hadir sama, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Abdul Hadi berkata demikian ketika mengulas kenyataan Dewan Pemuda Pas Tasek Gelugor yang mendesak Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dominic Lau supaya berundur dan tidak bertanding di kerusi majoriti Melayu di Tasek Gelugor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang 12 Ogos ini.

Terdahulu, Naib Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas Kawasan Tasek Gelugor, Mohamad Ikhwan Afiq Mohamad Anwar dilaporkan berkata, pihaknya akan menggerakkan seluruh jentera untuk berarak secara besar-besaran sebagai calon bebas sekiranya Dominic masih berkeras untuk menjadi calon di kawasan majoriti Melayu.

Jelasnya, gerakan jentera itu juga akan dilakukan bagi DUN Permatang Berangan sekiranya calon daripada Bersatu dipertaruhkan untuk kerusi tersebut.