Pengubat rindu peminat buku

Jualan Gudang Karangkraf yang berlangsung dari 31 Ogos hingga 10 September ini dibuka bermula jam 9 pagi hingga 7 petang.
Jualan Gudang Karangkraf yang berlangsung dari 31 Ogos hingga 10 September ini dibuka bermula jam 9 pagi hingga 7 petang.
A
A
A

SHAH ALAM - Peminat buku dapat mengubat rindu dengan pelbagai koleksi naskhah lama dan baharu terutamanya majalah masakan dan juga dekorasi apabila mengunjungi Jualan Gudang Karangkraf yang diadakan di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini bermula 31 Ogos hingga 10 September 2023.

Tinjauan Sinar Harian mendapati bahan bacaan tersebut dijual dengan harga yang lebih murah berbanding di luar.

Seorang usahawan, Suhairani Yusoff, 44, berkata, mengunjungi Jualan Gudang Karangkraf mampu mengembalikan nostalgia lama ketika zaman majalah popular suatu ketika dahulu.

Menurut Suhairani, dia boleh melihat dan memilih majalah masakan yang terdapat di jualan tersebut dalam tempoh yang lama.

“Saya boleh duduk sini berjam-jam, biasanya bawa anak-anak di kedai buku, mereka memilih dan kita hanya membayar namun berbeza di sini kerana terdapat pelbagai majalah masakan serta dekorasi. Malah ada antaranya tidak dijual di kedai buku, kalau ada pun harga sangat mahal. Tengok di sini hanya dijual RM5 sahaja.

“Saya minat membaca, kali ini tertumpu kepada majalah masakan, mana tahu boleh digunakan untuk meningkatkan lagi perniagaan saya dalam bidang katering. Macam-macam boleh dipelajari terutamanya mengenai penyediaan makanan,” katanya pada Rabu.

Sementara itu, bapa kepada tiga orang anak, Zamany Md Yusoff, 42, pula berpendapat, jualan gudang itu menjadi pengubat rindu kepadanya dan keluarga untuk mendapat bahan bacaan.

Beliau memberitahu, seluruh ahli keluarganya minat membaca sehingga di rumah disediakan satu bilik khas untuk dijadikan mini perpustakaan.

Artikel Berkaitan:

“Di sini harga murah-murah, jadi kami boleh datang dan borong buku yang diingini. Kalau di kedai buku harga mahal jadi kena pilih-pilih.

“Ini kali kedua kami sekeluarga datang ke jualan gudang, mula-mula datang hari Sabtu tetapi memandangkan banyak lagi buku yang mahu dibeli, jadi hari ini (Rabu) saya ambil cuti. Seronok dapat membeli-belah buku,” ujarnya.

Bagi Asiah Mat Nadzi, 26, Jualan Gudang Karangkraf memberi banyak pilihan kepadanya untuk membeli pelbagai jenis buku.

“Ini kali pertama saya datang ke sini, banyak buku dan promosi yang ditawarkan. Teruja pula tengok.

“Asalnya saya cari buku cerita untuk dibacakan kepada anak ketika waktu tidur namun melihat banyak buku, saya teruja membeli untuk diri sendiri juga,” jelasnya.