Kemenangan Kelantan United tonik berdepan Kelantan FC

Aksi KUFC dan Kuching City di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Bharu pada Isnin. Gambar kecil: Aidil Sharin, Ailton
Aksi KUFC dan Kuching City di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Bharu pada Isnin. Gambar kecil: Aidil Sharin, Ailton
A
A
A

PEMAIN Kelantan United FC (KUFC) diberikan ruang meraikan kemenangan kedua Liga Super musim ini selepas bangkit menjinakkan Kuching City FC 2-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Isnin.

Bagaimanapun pengendali KUFC, Ailton Silva juga menuntut para pemain skuad Kijang Hijau selepas itu untuk kembali fokus menjelang perlawanan Derbi Kota Bharu menentang jiran setempat Kelantan FC dalam saingan Piala Cabaran MFL yang dijadualkan 18 September ini.

Katanya, pemain-pemain perlu mendapatkan rehat yang cukup dalam tempoh berbaki sebelum turun dengan aksi terbaik sekali gus mengulangi rentak seperti perlawanan berdepan The Cats.

“Untuk perlawanan seterusnya bertemu derbi bukan sesuatu yang mudah dan saya sudah mempunyai banyak perancangan untuk dilakukan.

“Minggu ini peluang untuk para pemain berehat dan bersama dengan keluarga. Buat masa ini, kita nikmati dan raikan kemenangan ini terlebih dahulu,” katanya pada sidang akhbar selepas aksi Liga Super di sini, pada Isnin.

Mengulas perlawanan malam itu, ujar beliau, sikap yang ditonjolkan barisan pemainnya wajar dipuji apabila berjaya menguasai bola dan memberi penyudah dua gol yang menyumbang tiga mata berharga dalam aksi di laman sendiri.

Ailton berkata, pasukannya yang bermain tanpa terlalu memikirkan tekanan kerana banyak kekalahan dalam aksi sebelum ini membantu KUFC menang pada perlawanan itu.

“Permulaan babak, bola banyak dapat dikawal oleh lawan namun rentak bertukar memihak pada kami dalam aksi separuh masa kedua.

Artikel Berkaitan:

“Saya tekankan dan memotivasikan kepada pemain untuk menikmati permainan dan tidak terlalu stres dan ia berhasil mencipta kemenangan kepada pasukan kami,” kata beliau.

Sementara itu, pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak menyifatkan keadaan padang yang becak selepas hujan di stadium itu merencatkan prestasi anak-anak buahnya.

Kata beliau, bagaimanapun tidak meletakkan perkara itu 100 peratus sebagai alasan kekalahan tersebut, bahkan sedar masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dalam pasukannya kerana masih baharu di Liga Super.

“Kami berjaya dapat satu gol namun, pada separuh masa kedua, kesungguhan KUFC untuk menang lebih terserlah dan dapat dilihat.

“Perkara ini memberi kelemahan kepada kami berdepan KUFC yang lebih bertekad untuk memburu mata menang. Pun begitu, kami tetap positif untuk memperbaiki setiap kekurangan bagi berdepan saingan seterusnya bertemu Kedah (Piala Cabaran) nanti,” katanya.

Sebagai rekod, saingan Piala Cabaran MFL bakal menyingkap tirai dengan suku akhir pertama berlangsung pada 18 dan 19 September ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!