Al-Ittihad tawar gaji RM14.4 juta seminggu pikat Salah

Al-Ittihad menawarkan Liverpool dengan bidaan mencecah RM1.26 bilion untuk mendapatkan Salah. - Foto: EPA.
Al-Ittihad menawarkan Liverpool dengan bidaan mencecah RM1.26 bilion untuk mendapatkan Salah. - Foto: EPA.
A
A
A

KELAB Arab Saudi, Al-Ittihad enggan mengibar bendera putih dalam usaha untuk mendapatkan pemain sensasi Liverpool, Mohamed Salah apabila membuat tawaran mega mencecah 215 juta pound (RM1.26 bilion).

Ia susulan tawaran sebelum ini 170 juta pound (RM999 juta) gagal melembutkan hati pengurusan Liverpool dan jurulatihnya, Jurgen Klopp.

Bagi memujuk Salah supaya meninggalkan Anfield, pemain Mesir itu turut ditawarkan gaji 2.45 juta pound (RM14.4 juta) seminggu.

Malah pemain berusia 31 tahun itu turut ditawarkan wang besar daripada hasil jualan jersi, bonus kemenangan 55,000 pound (RM323,000).

Salah juga bakal dilantik sebagai duta bagi sekurang-kurangnya tiga syarikat utama Arab Saudi sepanjang tempoh kontraknya.

Ia menyaksikan tambahan pendapatan 18 juta pound (RM105.7 juta) dengan setiap firma sanggup membayarnya 6 juta pound (RM35 juta).

Kesungguhan Al-Ittihad itu dibuktikan menerusi wakil kelab tersebut yang terbang ke London pada Selasa untuk melakukan usaha terakhir mengikat bintang utama The Reds itu sebelum jendela perpindahan mereka ditutup pada Khamis ini.

Kelab Arab Saudi itu juga mempunyai pelan B, jika bidaan itu gagal, mereka akan berusaha sekali lagi apabila jendela perpindahan dibuka semula pada awal tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Klopp tetap berkeras bahawa Salah bukan untuk dijual, tetapi wakil penyerang itu membuka pintu untuk mendengar tawaran dari Al-Ittihad.

Secara keseluruhan Salah telah membuat 309 penampilan bersama The Reds sejak menyertai mereka pada tahun 2017.