Pelbagaikan tanaman di Lahad Datu, Tawau untuk manfaat ekonomi - Agong

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan bertitah pada Majlis Santapan Bersama Masyarakat Lahad Datu di Dewan Perdana malam ini. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan bertitah pada Majlis Santapan Bersama Masyarakat Lahad Datu di Dewan Perdana malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

LAHAD DATU - Lahad Datu dan Tawau merupakan bumi yang cukup subur, justeru kedua-dua daerah harus mempelbagaikan lagi tanaman bagi memberi manafaat kepada ekonomi, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seri Paduka dalam titahnya menzahirkan rasa teruja apabila melihat sendiri keindahan pemandangan dan kepelbagaian tanaman di sepanjang jalan yang dilalui baginda dalam Kembara Kenali Borneo dari Tawau Ke Lahad Datu hari ini.

"Saya, tuan puan, dapat tengok tanaman selain kelapa sawit iaitu betik, ubi kayu, langsat, duku, durian dan rambutan, tanaman ini harus dipelbagaikan serta banyak hasil yang boleh dijual dengan harga berpatutan.

"Saya bersyukur dapat merasa makan durian kampung yang lagi sedap daripada Musang King, durian kampung ini patut dipasarkan ke luar negara," titah baginda pada Majlis Santapan Bersama Rakyat di Dewan Perdana hari ini.

Seri Paduka turut memohon maaf atas kelewatan baginda tiba ke majlis itu kerana terpaksa memandu perlahan bagi menyantuni rakyat yang menunggu di sepanjang jalan dari Tawau hingga ke Dewan Perdana di sini.

Baginda turut menzahirkan rasa gembira dengan sambutan cukup hebat penduduk Lahad Datu seperti di Tawau semalam.

"Ramai rakyat tunggu saya sepanjang jalan sehingga ke sini, saya begitu teruja, saya pandu perlahan, berhenti, kemudian pandu perlahan, berhenti lagi. Sambutan Lahad Datu dan sama juga di Tawau tidak boleh banding, kedua-duanya sama baik, doakan saya selamat sampai ke Sandakan malam ini," titah Seri Paduka.

Terdahulu, Seri Paduka berdua berlepas dalam Kembara Kenali Borneo pada jam 8.30 pagi di Tawau sebelum Al-Sultan Abdullah tiba di Ibu Pejabat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di sini pada jam 4.20 petang dan di Dewan Perdana pada jam 6.05 petang.

Artikel Berkaitan:

Turut berangkat mengikuti program Kembara Kenali Borneo sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo ialah paduka anakanda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana.

Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 September yang bermula dari Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Kuching melibatkan perjalanan merentasi Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei itu memberi peluang keemasan kepada rakyat di kedua-dua negeri untuk beramah mesra dengan pasangan diraja serta delegasi. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Agong lawat ESSCom, Permaisuri memasak untuk rakyat di Lahad Datu

Kembara Kenali Borneo serlah keperibadian Agong terhadap rakyat - Fadillah