Kenyataan Muhyiddin untuk takutkan orang Melayu - Syahredzan

Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Syahredzan
Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Syahredzan
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai persempadanan semula kawasan pilihan raya melibatkan pertambahan kerusi Parlimen sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai didakwa hanya untuk menakutkan orang Melayu.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, gambaran mengenai jumlah pengundi Cina di kawasan Parlimen yang besar seperti dinyatakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga salah dan tidak tepat.

"Saya tidak mahu main polemik kaum, sebab berkali-kali katakan bahawa saya wakil rakyat untuk semua kaum di Bangi.

"Kalau ikut data 2022, ada lebih daripada 147,000 pengundi Melayu di kawasan Parlimen Bangi (manakala) jumlah pengundi di Pagoh (semua bangsa) adalah lebih kurang 69,000. Maknanya, ada lagi ramai pengundi Melayu sahaja di Bangi berbanding kesemua pengundi di Pagoh.

"Saya di Bangi mewakili lebih ramai orang Melayu daripada beliau (Muhyiddin) di Pagoh. Saya berharap PN jangan main politik sempit hanya untuk timbulkan ketakutan. Berlaku adil pada semua termasuklah orang Melayu yang tinggal di kawasan bandar seperti di Parlimen Bangi," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Ahad.

Sebelum ini Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menegaskan, kemenangan PN pada PRK Pulai pada 9 September ini cukup penting untuk memastikan kerajaan tidak sesuka hati meminda Perlembagaan, terutama persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Beliau mendakwa, kemenangan itu akan menafikan majoriti dua pertiga di Parlimen seterusnya memberi kesan besar dalam soal pindaan Perlembagaan.

Dalam pada itu Syahredzan menegaskan, hanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang boleh melaksanakan persempadanan semula dan tindakan berkenaan tidak memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen, sebaliknya majoriti mudah.

Artikel Berkaitan:

"Dan saya boleh katakan apabila saya berjumpa rata-rata orang di Bangi tidak kira kaum, mereka kata 300,000 pengundi untuk suatu kawasan Parlimen adalah terlalu besar.

"Ini suara mereka, bukan saya. Apa hak PN untuk lenyapkan suara mereka," ujarnya.