Kerajaan Perpaduan tidak bersikap kuku besi - Fahmi

Fahmi
Fahmi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil memberi jaminan Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan bersikap kuku besi terhadap organisasi media.

“Jaminan saya adalah kita tidak akan bersikap kuku besi seperti yang berlaku dalam pentadbiran-pentadbiran sebelum ini. Itu jaminan saya berikan kepada rakan-rakan media.

“Sepanjang saya berkhidmat sebagai Menteri KKD, tiada seorang pun wartawan ditahan pihak polis. Tidak ada satu akhbar pun yang telah ditutup seperti pernah berlaku sebelum ini.

"Sudah pasti ini adalah satu perkara yang kita akan pertahankan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Kita Madani Aspirasi Malaysia 2023 peringkat Wilayah Persekutuan di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kritikan beberapa pihak terhadap kerajaan susulan tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyekat kandungan oleh portal berita sebelum ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, beliau turut bersedia bertemu dengan mana-mana pihak bagi meneliti perkara yang dibangkitkan.

Jelasnya, langkah itu bagi membolehkan pihak terlibat memahami dengan jelas tindakan berlandaskan undang-undang yang diambil tersebut.

Pada Selasa, lapan tokoh media tampil mendesak SKMM supaya tidak bertindak seolah-olah 'big brother' atau abang besar dalam menyekat kandungan dalam talian.

Artikel Berkaitan:

Lapan tokoh itu terdiri Tan Sri Johan Jaafar, Datuk A. Kadir Jasin, Datuk Dr Chamil Wariya dan Datuk Hussamuddin Yaacub.

Turut bersama, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Yong Soo Heong, Datuk Zakaria Wahab dan Dr G Manimaran.

Ia susulan tindakan SKMM yang telah memanggil pengamal media untuk memberi penjelasan mengenai kandungan yang mereka bawa menerusi portal berita dan laman dalam talian.