KBS tawarkan Perkhemahan Rahmah di Kem Wawasan Negara

Hannah (tiga dari kiri) bersama peserta perkhemahan di Kem Wawasan Negara Ulu Sepri, Rembau pada Ahad.
Hannah (tiga dari kiri) bersama peserta perkhemahan di Kem Wawasan Negara Ulu Sepri, Rembau pada Ahad.
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menerusi Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) menawarkan Perkhemahan Rahmah untuk keluarga pada kadar bayaran mampu milik selaras dengan agenda untuk merakyatkan sukan.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, sebagai permulaan program rintis Perkhemahan Keluarga ini dilaksanakan di Kem Wawasan Negara Ulu Sepri di sini secara percuma bermula 1 hingga 30 September iaitu setiap hari Sabtu dan Ahad.

"Tujuannya adalah untuk merakyatkan fasiliti KBS dan memberi manfaat kepada orang ramai untuk beriadah sekali gus meningkatkan hubungan dan rasa tanggungjawab kekeluargaan dalam kalangan rakyat di negara ini.

"Selain itu, ia dapat memupuk amalan nilai murni dan integriti keluarga demi keharmonian hidup termasuklah memupuk keseimbangan kerjaya dan kehidupan," katanya dalam sidang akhbar ketika ditemui sempena Perkhemahan Keluarga di sini pada Ahad.

Katanya, ia merupakan inisiatif Rakan Muda yang menjadi platform pengisian masa berkualiti dan penyatuan perpaduan dalam kalangan belia.

"Menerusi gaya hidup Rakan Bumi, program ini akan menjadi platform pendedahan dan penerokaan kepentingan dan penjagaan kelestarian alam dan iklim bagi menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

"Aspek keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) rekreasi dititikberatkan dengan mendapat kerjasama dan kolaborasi strategik dengan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam serta Pejabat Kesihatan Negeri," katanya.

Menurutnya, bagaimanapun peserta perkhemahan dikehendaki akur dan patuh terhadap peraturan yang ditetapkan untuk kesejahteraan bersama.

Artikel Berkaitan:

"Peserta dilarang merokok termasuk rokok elektronik (vape) dalam kawasan kem, menjaga kebersihan kawasan perkhemahan dan bebas daripada pengaruh alkohol, penyalahgunaan dadah dan melakukan perkara terlarang," katanya.

Ujarnya, selepas ini ia akan diperluaskan ke enam buah Kem Wawasan Negara lain iaitu Kem Wawasan Langkawi; Balik Pulau, Pulau Pinang; Ulu Kenas, Perak; Maran, Pahang; Kundasang, Sabah dan Besut, Terengganu bermula Oktober ini dengan bayaran antara RM10 hingga RM20.

"Bayaran minimum atau kadar mampu bayar ini sebagai salah satu inisiatif Rahmah KBS dalam perihal belia dan sukan. Ia terbuka untuk semua yang berminat dengan aktiviti perkhemahan," katanya.

Orang ramai boleh berhubung dengan urus setia mengenai Perkhemahan Keluarga di talian 012-2724630/012-3846818 (WhatApps) atau layari laman sesawang www.i-lead.gov.my.