KBS optimis Hari Sukan Negara mampu tarik 4.5 juta peserta

Nagulendran. Foto Bernama
Nagulendran. Foto Bernama
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) optimis Hari Sukan Negara (HSN) 2023 bulan depan, anjuran kementerian itu mampu menarik penyertaan sebanyak 4.5 juta orang dari seluruh negara.

Ketua Setiausaha KBS, Dr K. Nagulendran berkata HSN 2023 bagi peringkat daerah dan negeri kecuali Sarawak akan bermula 13 hingga 15 Oktober depan, manakala penganjuran bagi peringkat kebangsaan yang dijadual disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berlangsung pada 14 Oktober di pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya.

Katanya, penganjuran HSN peringkat negeri dan bahagian di Sarawak diselaraskan semula ke 28 Oktober bagi menghormati sambutan ulang tahun kelahiran Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud pada 14 Oktober ini.

"HSN merupakan agenda nasional yang disambut secara tahunan pada hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober dengan hasrat membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi amalan gaya hidup cergas dan aktif selaras dengan kerangka Malaysia Madani dan Visi Sukan Negara 2030," katanya dalam sidang media di Putrajaya pada Selasa.

Beliau berkata, antara objektif penganjuran HSN kali ini adalah memberikan kesedaran akan kepentingan gaya hidup aktif dan cergas, meningkatkan penglibatan rakyat dalam aktiviti sukan dan rekreasi serta memperkukuhkan semangat perpaduan dan integrasi nasional.

Katanya, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh juga mahu kesemua penyedia makanan yang terlibat dalam HSN 2023 agar menghidangkan menu sihat kepada pengunjung serta peserta dalam usaha mempromosi aspek pemakanan sihat.

Nagulendran pada masa sama menyeru semua pihak untuk bersama-sama memeriahkan penganjuran HSN selain mengalu-alukan sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), korporat dan swasta agar menjalin kerjasama strategik untuk memeriahkan sambutan HSN.

Sehubungan itu, beliau berkata sebarang cadangan kerjasama oleh mana-mana pihak bagi HSN 2023 boleh dihantar menerusi e-mel hsn@kbs.gov.my. - Bernama

Artikel Berkaitan: