Kepala air Lata Bayu berisiko berulang kembali - APM

Saifuddin (kanan) bersama anggota APM Kota Setar memeriksa peralatan bot penyelamat sebagai persediaan menghadapi Monsum Timur Laut di Pejabat APM Kota Setar pada Ahad.
Saifuddin (kanan) bersama anggota APM Kota Setar memeriksa peralatan bot penyelamat sebagai persediaan menghadapi Monsum Timur Laut di Pejabat APM Kota Setar pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Orang ramai perlu memastikan cuaca bersesuaian sebelum melakukan aktiviti di kawasan rekreasi air bagi mengelakkan kejadian dua wanita terperangkap di Lata Bayu, Asam Jawa, Baling pada Khamis berulang lagi.

Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, kejadian kepala air di kawasan tersebut berisiko untuk berulang kembali dan orang awam perlu berhati-hati ketika mengunjungi kawasan rekreasi sama ada beriadah atau berkhemah.

Menurutnya, Lata Bayu antara 11 kawasan panas berlaku kejadian kepala air di daerah Baling selain masih berisiko tinggi berikutan hujan akibat peralihan daripada Monsun Barat Daya ke Monsun Timur laut.

"APM tidak mempunyai kuasa untuk menghalang orang awam beriadah, namun menasihati agar sentiasa memantau cuaca dan bersedia meninggalkan kawasan jika hujan lebat atau tidak selamat.

"Lata Bayu juga berada di dalam senarai antara 39 kawasan panas yang dikenal pasti berisiko berlaku kepala air di Kedah sebelum ini," katanya pada sidang akhbar di Pejabat APM Kota Setar pada Ahad.

Sinar Harian melaporkan dua pengunjung di Lata Bayu, Asam Jawa di sini berjaya diselamatkan selepas terperangkap dalam kejadian kepala air yang berlaku selepas hujan lebat pada petang Khamis.

Dalam kejadian tersebut, seramai sembilan anggota APM Baling bergegas ke lokasi kejadian dan mangsa berjaya diselamatkan pada jam 5.55 petang.

Seorang mangsa berusia 22 tahun yang mengalami kecederaan di kepala dibawa ke Hospital Baling untuk mendapatkan rawatan, manakala seorang lagi dilaporkan dalam keadaan sedar dan stabil.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, 10 lagi kawasan berisiko berlaku kepala air di Baling adalah Kuala Kedua, Lata Bukit Hijau, Lata Celak Simpoi, Teratak Simpul, Ulu Legong Hotspring, Lubuk Badak, Sungai Pam, Lata Baling, Lubuk Pedati dan Lata Nering.

Menurutnya, seramai 1,100 anggota APM di seluruh negeri ini sentiasa bersiap sedia untuk dikerahkan bagi menghadapi kejadian bencana seperti banjir kilat termasuk kepala air.

"Kawasan berisiko banjir di Kedah pula melibatkan 357 kawasan dan tumpuan kawasan berisiko adalah di Lembangan Sungai Muda.

"Kawasan berisiko juga melibatkan daerah Kulim, Baling, Kuala Muda, Bandar Baharu, Kota Setar dan Kubang Pasu," ujar beliau.

ARTIKEL BERKAITAN:

Dua pengunjung Lata Bayu terperangkap kepala air