Razeef persoal alasan Hadi tidak sihat tapi boleh bertemu Tun M

Abdul Hadi bersama empat Menteri Besar dari PN bertemu Dr Mahathir di kediaman bekas Perdana Menteri itu pada Sabtu. Gambar kecil: Razeef
Abdul Hadi bersama empat Menteri Besar dari PN bertemu Dr Mahathir di kediaman bekas Perdana Menteri itu pada Sabtu. Gambar kecil: Razeef
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Razeef Rakimin mempersoalkan tindakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa cuba berbohong bagi mengelakkan dirinya disiasat pihak polis.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa polis telah menangguhkan janji temu untuk mengambil keterangan Ahli Parlimen Marang itu.

Menurutnya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan, polis sepatutnya mengambil keterangan Abdul Hadi pada Sabtu, namun ditangguhkan kerana masalah kesihatan yang dialami beliau.

“Petang tadi (Sabtu), Abdul Hadi bersama empat Menteri Besar dari Pas serta Setiausaha Agungnya melakukan kunjungan ke kediaman (Dr) Mahathir.

“Adakah Abdul Hadi menipu polis bagi mengelak dari disiasat? Tindakan Abdul Hadi jelas dilihat cuba memperbodohkan pihak berkuasa.

“Sampai bila Abdul Hadi boleh terus menipu untuk mengelak dari disiasat pihak polis seolah-olah beliau akan mati esok hari,” ujarnya dalam kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, Abdul Hadi dipercayai memberi kenyataan mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di markas Pas Bakri, Muar minggu lalu.

Sementara itu, Razeef berharap agar pihak polis tidak lagi tertipu dengan taktik lapuk Abdul Hadi yang didakwa cuba mengelak untuk disiasat kerana dalam ucapan beliau jelas mempertikai keputusan dibuat oleh Majlis Raja-Raja Melayu dan dilihat seperti menentang keputusan institusi diraja.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Empat MB PN bertemu Tun M