PRK: Calon PH mahu jentera tukar 'gear' lima

Suhaizan dan Nie Ching merakam kenangan bersama jentera parti dalam program Wanita Perpaduan Johor 2023 di Dewan Persatuan Cerebral Palsy, Johor Bahru pada Sabtu.
Suhaizan dan Nie Ching merakam kenangan bersama jentera parti dalam program Wanita Perpaduan Johor 2023 di Dewan Persatuan Cerebral Palsy, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kaiat mahu jentera parti menukar kepada 'gear lima' bagi memperhebatkan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai.

Beliau berkata, antara yang perlu didekati adalah golongan wanita terutama suri rumah yang dibebani isu kos sara hidup dengan menawarkan jalan penyelesaian dengan jualan Rahmah.

"Setakat ini, respons diterima amat memberangsangkan dan kini di peringkat yang makin mencabar. Jadi, Kita perlu terus semangat berkempen untuk mendapatkan sokongan tertinggi," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Wanita Perpaduan Johor 2023 di Dewan Persatuan Cerebral Palsy di sini pada Sabtu.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Wanita PH, Fadhlina Sidek dan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching yang juga Menteri Komunikasi dan Digital.

Dalam perkembangan lain, Suhaizan berkata, strategi mengedar risalah terbaharu beliau dengan menggunakan logo BN bermula Khamis berjaya meningkatkan kefahaman penyokong UMNO dan BN.

Katanya, bahan kempen yang mempamerkan logo dacing itu amat membantu penyokong BN memahami bahawa dirinya adalah calon yang disokong BN pada PRK tersebut walaupun logo itu tidak ada di kertas undi.

Menurutnya, sebelum ini ramai yang keliru memandangkan bahan kempen menggunakan logo PH sedangkan kempen yang dijalankan turut dihadiri jentera dan pemimpin UMNO dan BN.

Artikel Berkaitan:

"Pada awalnya kita berkempen menggunakan logo PH dan selepas itu barulah meletakkan logo dacing supaya ahli UMNO jelas selain merasakan BN adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

"Kalau letak logo PH sahaja, nanti mereka tak nampak hubungan antara PH dan BN itu. Kita wujudkan warna biru di logo dacing kerana nak menggambarkan adanya muafakat di bawah Kerajaan Perpaduan," katanya.

Suhaizan memberitahu, 20,000 risalah yang menggunakan logo dacing itu sudah habis diedarkan sehingga kini.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu berkata, beliau terpaksa mencetak sebanyak 40,000 lagi risalah untuk diedarkan khusus buat penyokong tegar supaya mereka tahu siapa calon yang perlu diundi.

"Sebelum ini kita cetak 10,000 helaian risalah namun sekejap sahaja sudah habis. Jadi, Kita perlu mencetak lagi 40,000 keping untuk diedarkan pada minggu terakhir kempen ini.

"Ini adalah kaedah yang cepat dan tepat untuk mengingatkan pengundi, saya kira ia adalah satu penerimaan yang baik dan melihat bahan kempen ini sebagai satu keperluan," ujarnya.