Agong zahir syukur perkembangan iTekad bantu golongan rentan

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) mengadakan perbincangan dengan Abdul Rasheed dan Jessica Chew di lstana Negara pada Jumaat. - Foto Facebook Istana Negara.
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) mengadakan perbincangan dengan Abdul Rasheed dan Jessica Chew di lstana Negara pada Jumaat. - Foto Facebook Istana Negara.
A
A
A

SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Sabtu menzahirkan rasa syukur terhadap perkembangan program kewangan sosial iTekad dalam membantu golongan rentan di negara ini.

Menurut catatan di laman Facebook, Istana Negara memaklumkan, setakat ini, iTekad yang mendapat sokongan 11 institusi kewangan dan hampir 60 rakan pelaksana telah memanfaatkan 3,000 usahawan mikro berpendapatan rendah, terutamanya golongan asnaf.

“Seri Paduka Baginda bertitah, semua pihak perlu terus memberi tumpuan pelaksanaan terhadap pembaharuan struktur ekonomi dan meningkatkan daya saing bagi menjamin pertumbuhan ekonomi negara yang lebih inklusif, kukuh dan mampan.

“Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan harapan agar ekonomi negara akan terus berkembang dan berdoa agar rakyat Malaysia terus dilimpahi dengan rezeki yang lebih baik di masa hadapan,” katanya kenyataan tersebut pada Sabtu.

Menurut kenyataan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap dan sembah taklimat berhubung perkembangan semasa ekonomi dalam negeri dari Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour dan Timbalan Gabenor BNM, Datuk Jessica Chew Cheng Lian di lstana Negara pada Jumaat.

Baginda berkenan menerima menghadap dan sembah taklimat berhubung perkembangan semasa ekonomi dalam negeri dari Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour dan Timbalan Gabenor BNM, Datuk Jessica Chew Cheng Lian di lstana Negara pada Jumaat. - Foto Istana Negara
Baginda berkenan menerima menghadap dan sembah taklimat berhubung perkembangan semasa ekonomi dalam negeri dari Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour dan Timbalan Gabenor BNM, Datuk Jessica Chew Cheng Lian di lstana Negara pada Jumaat. - Foto Istana Negara

“Seri Paduka Baginda telah mengambil maklum keadaan ekonomi Malaysia yang berkembang pada kadar 4.2 peratus pada separuh pertama tahun 2023 meskipun berdepan persekitaran pertumbuhan ekonomi global dan perdagangan yang lebih perlahan.

“Perkembangan ini disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang kukuh berikutan pasaran pekerja dan pendapatan lebih baik, di samping pelaksanaan projek pelaburan baharu dan sedia ada.

Artikel Berkaitan:

“Seri Paduka Baginda turut telah mengambil maklum bahawa kadar pengangguran juga telah menurun kepada 3.4 peratus pada bulan Jun 2023. Di samping itu, inflasi keseluruhan dan inflasi teras terus menurun pada suku kedua tahun ini,",” ujar kenyataan itu.

Seri Paduka Baginda juga memberi perhatian kepada perkembangan sektor kewangan Islam yang telah menyumbang kepada kemajuan ekonomi serta perkembangan sosioekonomi negara.

iTekad merupakan program penaung yang diwujudkan oleh BNM bagi membantu usahawan mikro berpendapatan rendah memperkukuh pengurusan kewangan dan kepintaran dalam perniagaan ke arah menjana pendapatan yang berterusan.

Setiap program iTekad menggabungkan penyediaan aset perniagaan yang dibiayai oleh instrumen kewangan sosial seperti derma, pelaburan impak sosial, zakat dan wakaf tunai dengan kewangan mikro, berserta latihan kewangan dan perniagaan yang berstruktur.