Korban kebakaran bangunan di Johannesburg meningkat 74 orang

Anggota bomba bertugas memadamkan kebakaran bangunan di Johannesburg pada Khamis. - Foto AFP
Anggota bomba bertugas memadamkan kebakaran bangunan di Johannesburg pada Khamis. - Foto AFP
A
A
A

JOHANNESBURG - Angka kematian dalam kebakaran bangunan di daerah pusat perniagaan Johannesburg, Afrika Selatan, meningkat kepada 74 orang, kata pihak berkuasa tempatan pada Khamis.

"Kebakaran di kediaman bertingkat itu turut menyebabkan lebih 200 keluarga kehilangan tempat tinggal,” kata pengurus bandar Johannesburg Floyd Blink pada taklimat media, lapor Xinhua.

Beliau berkata, penghuni bangunan lima tingkat itu didapati membuat sambungan bekalan air dan elektrik secara haram, katanya.

"Sehingga 2 petang Khamis, kami mengesahkan 61 orang dirawat di pelbagai kemudahan perubatan di dalam dan sekitar bandar ini. Sejumlah 16 dibenarkan pulang dan 17 masih dirawat, selebihnya masih menerima rawatan di unit kecederaan," kata Blink.

Beliau berkata, keluarga yang hilang tempat tinggal akan ditempatkan di beberapa pusat perlindungan di sekitar Johannesburg.

Menurut kenyataan jabatan kesihatan Gauteng pada petang Khamis, seramai 74 yang maut terdiri daripada 40 lelaki, 24 wanita dan 10 yang belum dikenal pasti jantina.

Pihak berkuasa pengurusan kecemasan Johannesburg berkata, mereka dimaklumkan mengenai kebakaran itu pada kira-kira 1.30 pagi waktu tempatan.

Kebakaran di bangunan yang telah diubah menjadi penempatan tidak rasmi dengan anggaran lebih 80 petak, merebak dengan cepat disebabkan bahan mudah terbakar yang digunakan sebahagi pembahagi bilik. - Bernama-Xinhua

Artikel Berkaitan: