Korban pertempuran etnik di India meningkat 54 orang

Kenderaan dibakar puak perusuh di negeri Manipur. - AFP
Kenderaan dibakar puak perusuh di negeri Manipur. - AFP
A
A
A

GUWAHATI - Jumlah kematian akibat pertempuran membabitkan etnik yang tinggal di timur laut terpencil India telah meningkat kepada 54 orang meskipun tentera sudah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk memulihkan keadaan.

Ribuan tentera dikerahkan ke negeri Manipur selepas perarakan tunjuk perasaan oleh sekumpulan puak yang bertukar menjadi ganas pada Rabu lalu.

Pihak berkuasa mengenakan sekatan internet dan mengeluarkan perintah tembak terhadap 'kes ekstrem' sebagai usaha membendung pergolakan.

Polis memberitahu AFP bahawa situasi masih tegang selepas serangan terbaharu pada malam Jumaat manakala Press Trust of India (PTI) melaporkan jurucakap di bilik mayat hospital ibu negeri Imphal dan daerah Churachandpur telah melaporkan 54 kes kematian.

"Kira-kira 16 mayat sudah disimpan dalam bilik mayat hospital daerah Churachandpur manakala 15 lagi berada di Institut Sains Perubatan Jawaharlal Nehru di daerah Imphal Timur," lapor PTI.

Ketua Pengarah Polis Manipur P. Doungel memberitahu wartawan pada hari Jumaat bahawa pasukan keselamatan sedang mengawal keadaan.

Pertempuran berlaku apabila kumpulan-kumpulan puak membantah tuntutan masyarakat etnik Meitei untuk dimasukkan ke dalam kategori 'Scheduled Tribe' bawah kerajaan.

Bawah undang-undang India, ahli puak berstatus sedemikian akan diperuntukkan kuota bagi pekerjaan sebagai penjawat awam dan kemasukan ke kolej, bagi menangani isu diskriminasi serta ketidaksaksamaan struktur. - AFP