Teringin kuih nekbat? Beli online!

Kuih tradisional yang popular dalam kalangan penduduk Pantai Timur yang dibuat daripada tepung beras dan telur tanpa gula. - Foto Bernama
Kuih tradisional yang popular dalam kalangan penduduk Pantai Timur yang dibuat daripada tepung beras dan telur tanpa gula. - Foto Bernama
A
A
A

BESUT - Berbekalkan keazaman untuk terus memelihara kuih warisan tradisional Pantai Timur, ‘nekbat’ daripada hilang ditelan zaman, seorang wanita gigih menghasilkan kuih tersebut dan menjualnya sepanjang Ramadan ini.

Malah beliau turut mempromosikan kuih nekbatnya di laman Facebook juga menyediakan perkhidmatan penghantaran secara tunai dan secara pos.

“Perkhidmatan pos nekbat disediakan terutama kepada anak jati Terengganu dan Kelantan yang tinggal di luar kerana saya tahu mereka mesti rindu akan kuih ini. Bagi menjaga kualiti, kuih tersebut akan dikeringkan terlebih dahulu sebelum diposkan,” katanya.

Katanya nekbat hanya mampu bertahan selama tiga hingga empat hari hari sahaja jika terdedah pada suhu bilik, tetapi ia mampu bertahan sehingga setahun jika disimpan secara sejuk beku.

Bermula dengan modal RM300 untuk mempelajari cara membuat nekbat dengan lebih mendalam, kini Fadhilah Abd Ghani, 36, boleh tersenyum bangga apabila air tangannya itu dipasarkan di pelbagai lokasi termasuk pasar borong dan bazar Ramadan di seluruh daerah Besut.

“Saya tidak mahu nekbat hilang ditelan zaman. Sekiranya tiada pelapis seperti saya yang menghasilkannya mungkin pada masa akan datang generasi baru tidak lagi mengenali kuih tradisi ini,” katanya ketika ditemui di bengkel pembuatan nekbat miliknya di Kampung Pengkalan Nyireh, di sini.

Katanya sepanjang Ramadan ini dia menerima tempahan kira-kira 5,000 hingga 6,000 biji nekbat sehari dengan harga jualan RM0.20 sebiji.

“Ramai yang bertanya kenapa saya jual dengan harga murah kerana di kebanyakan tempat kuih tersebut dijual RM1 untuk tiga biji. Tetapi itulah cara saya untuk menggalakkan orang membeli kuih ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Fadhilah berkata permintaan tinggi yang diterima adalah kerana ia adalah kuih ‘eksklusif’ yang hanya boleh ditemui pada bulan puasa sahaja.

Ibu kepada dua anak yang mula berniaga nekbat sejak Ramadan tahun lepas menjalankan perniagaan tersebut dengan dibantu adiknya Mohd Saifulbahri Abd Ghani, 27.

Selain dimakan ketika berbuka puasa, kuih nekbat juga merupakan juadah yang popular dihidangkan di masjid-masjid dan surau-surau selepas solat tarawih. Tambahnya, walaupun cara pembuatannya agak ringkas tetapi ia memerlukan kemahiran tersendiri untuk menghasilkan nekbat yang sedap dan menepati cita rasa para pelanggan.

“Adunan tepung yang telah dipukul sehingga kembang menggunakan mesin akan dibakar selama 15 hingga 20 minit sehingga ia gebu seperti bahulu.

"Ketika hendak dijual kepada pelanggan barulah ia disira bersama air gula yang telah dimasak bersama daun pandan. Kuih nekbat yang telah disira tidak boleh dibiarkan lama kerana ia akan lembik dan hancur,” katanya. - Bernama