Lebih 2.7 juta pengundi pilih presiden ke-9 Singapura hari ini

Lebih 2.7 juta rakyat Singapura pada Jumaat akan memutuskan siapa antara tiga calon yang akan menjadi presiden kesembilan republik itu.- Foto AFP
Lebih 2.7 juta rakyat Singapura pada Jumaat akan memutuskan siapa antara tiga calon yang akan menjadi presiden kesembilan republik itu.- Foto AFP
A
A
A

SINGAPURA - Lebih 2.7 juta rakyat Singapura pada Jumaat akan memutuskan siapa antara tiga calon yang akan menjadi presiden kesembilan republik itu.

Tiga calon itu terdiri bekas Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan GIC Pte Ltd, Ng Kok Song; bekas Ketua Pegawai Eksekutif NTUC Income Insurance Co-operative Ltd, Tan Kin Lian dan bekas Menteri Kanan, Tharman Shanmugaratnam.

Menurut laman sesawang Jabatan Pilihan Raya Singapura (ELD), Presiden ialah Ketua Negara dan memegang jawatan selama enam tahun

Presiden mempunyai dua peranan penting - sebagai simbol dan penyatu Singapura yang berbilang kaum serta sebagai penjaga rizab lampau Singapura dan integriti perkhidmatan awam.

Pilihan raya Presiden Singapura yang pertama diadakan pada 28 Ogos 1993.

Presiden Halimah Yacob yang bakal menamatkan tugasnya telah berkhidmat sebagai presiden kelapan Singapura sejak 2017.

Pada Mei lepas, Halimah yang juga presiden wanita pertama dalam sejarah Singapura mengumumkan beliau tidak bertanding semula.

Penggal perkhidmatannya tamat pada 13 September.

Artikel Berkaitan:

Pusat mengundi dibuka mulai pukul 8 pagi hari Jumaat dan ditutup pada 8 malam.

Sebanyak 1,264 pusat mengundi dibuka di seluruh negara dengan kira-kira 36, 000 pegawai pilihan raya ditugaskan di seluruh republik itu. - Bernama