Remaja 14 tahun maut terjatuh dari tingkat 12 kondominium

Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penduduk di sebuah kondominium di Jalan Tiara, Titiwangsa, dekat sini gempar apabila mayat seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ditemui tertiarap di atas jalan pada malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat 12 kondominium tersebut.

Menurutnya, polis menerima panggilan talian MERS 999 berhubung kejadian itu jam 8.20 malam.

"Mangsa yang merupakan seorang remaja perempuan warga asing berusia 14 tahun ditemui dalam keadaan tertiarap di atas jalan di blok B kondominium tersebut.

"Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, disahkan meninggal dunia oleh pihak paramedik di lokasi kejadian jam 8.40 malam," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat berhampiran lokasi kejadian, namun tiada CCTV diperoleh di bahagian dalam rumah mangsa.

Tambah Ashari, hasil siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah berhubung kejadian itu.

"Hasil siasatan pihak polis mendapati mangsa memanjat sebuah tong sampah berwarna hitam di balkoni sebelum terjatuh.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa menetap di Malaysia bersama ibu dan kakaknya sejak lapan tahun lalu, manakala bapanya kini berada di Bangladesh," ujarnya.

Beliau berkata, siasatan diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR) dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat.

Katanya, sebarang maklumat berhubung kejadian itu boleh disalurkan kepada pihak polis Wangsa Maju menerusi hotline 03-9289 9222, hotline polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.