Peta Standard China 2023: Malaysia hantar nota bantahan - Zambry

PUTRAJAYA - Kerajaan akan menghantar nota bantahan kepada China berhubung tuntutan negara itu di Laut China Selatan, seperti yang digariskan dalam ‘Peta Standard China Edisi 2023’, yang turut meliputi kawasan maritim Malaysia.
Ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya, di sini pada Khamis, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, tindakan tersebut, merupakan langkah susulan yang diambil kerajaan dalam isu berkenaan.
"Ini merupakan amalan kita (apabila berhadapan isu seperti ini)...dan berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Wisma Putra semalam, langkah seterusnya termasuk menghantar nota bantahan,” katanya.
Kementerian Luar dalam kenyataan semalam memaklumkan, kerajaan tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan, seperti yang digariskan dalam ‘Peta Standard China Edisi 2023’, yang turut meliputi kawasan maritim Malaysia.