Pertikaian Laut China Selatan: Howard Lee lucu, tidak cerdik

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How perlu meneliti dan menyelidik terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan membidas pemimpin lain berkaitan isu Laut China Selatan.

Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tindakan Howard itu disifatkan lucu dan memalukan dirinya.

Menurutnya, ia menunjukkan ahli jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP itu tidak memahami isu berkenaan sekali gus menonjolkan sisi kurang cerdik.

"Kedangkalan Howard Lee termasuk dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam memahami isu ini sangat membimbangkan.

"Sebagai Ahli Majlis Perundingan Dasar Luar Negeri kepada Menteri Luar Negeri, beliau sepatutnya tegas dalam mempertahankan kedaulatan perairan Malaysia. Mana mungkin wilayah negara boleh dibawa ke meja rundingan.

"Kita semua tahu bahawa China berhasrat agar negara-negara ASEAN yang terlibat dalam tuntutan bertindih Laut China Selatan menerima solusi 'nine-dash line' yang amat jelas sekali ditentang keras oleh negara terlibat termasuk Malaysia," katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Nine Dash Line merupakan garisan maritim yang dituntut oleh China ke atas lebih 70 peratus dari keluasan Laut China Selatan berdasarkan peta pada tahun 1947.

Tuntutan China ini turut meliputi keseluruhan Kepulauan Paracel, Spratly sehinggalah terumbu Scarborough.

Tambah Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang, tuntutan tidak berasas China merangkumi dalam 80 peratus daripada keseluruhan Laut China Selatan yang kaya dengan minyak mentah, gas asli dan sumber laut.

Ujarnya, pendirian Malaysia sebelum ini amat jelas iaitu akan mempertahankan hak negara di Laut China Selatan tanpa menjejaskan hubungan baik dua hala antara Malaysia dan China.

"China adalah rakan dan sekutu besar kita dari dulu, sekarang dan akan datang. Takdir geografi meletakkan kita dan China sebagai jiran tetangga yang amat penting.

"Tetapi itu tidak bermakna perbezaan pendapat dan pendirian dalam soal geopolitik perlu melenturkan 'posture' (cara) kita dalam diplomasi," tegasnya.

Beliau berkata, kenyataan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebelum ini sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri telah menyatakan tuntutan ‘nine-dash line’ itu tidak selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982.

"Adakah Howard tidak pernah baca Konvensyen ni atau memang tak tahu, beliau tidak peka dengan keputusan Tribunal Timbangtara di The Hague pada 13 Julai 2016 yang telah menolak tuntutan China berdasarkan hujah 'nine-dash line' terbabit?

"Ini kerana tribunal antarabangsa di The Hague sendiri sudah menyatakan dengan jelas kedudukan dan hak negara-negara di sekitar Laut China Selatan termasuk Malaysia," ujarnya.

Wan Ahmad Fayhsal juga mencadangkan Menteri Luar untuk memecat dan mencari calon lain kerana Howard Lee memalukan nama Kementerian Luar Negeri dan kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum itu, media melaporkan, Howard Lee menyatakan Presiden PN, Muhyiddin Yassin sebagai bodoh atau pura-pura bodoh ketika mempertikaikan istilah ‘diplomasi’ perdana menteri dalam pertikaian kawasan di Laut China Selatan.

Katanya, sebagai bekas perdana menteri, Muhyiddin sepatutnya tahu bahawa isu hubungan antarabangsa melibatkan banyak perkara, termasuk urus tadbir, pertemuan, dan timbang tara untuk menyelesaikan, atau setidak-tidaknya mengendurkan ketegangan dalam sesuatu isu termasuk tuntutan bertindih di Laut China Selatan.