Hari Kebangsaan: Belanja RM1,000 tempah uniform khas untuk anak

Gelagat kanak-kanak memperagakan pakaian seragam pasukan keselamatan mencuri tumpuan ramai pengunjung ketika Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 hari ini.
Gelagat kanak-kanak memperagakan pakaian seragam pasukan keselamatan mencuri tumpuan ramai pengunjung ketika Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Gelagat dua orang kanak-kanak yang memperagakan pakaian seragam badan beruniform mencuri tumpuan ramai pengunjung sewaktu Sambutan Hari Kebangsaan ke-66, di sini, pada Khamis.

Menurut bapa kepada dua anak itu, Rosli Mustafa berkata, pakaian seragam anak-anaknya ditempah khas bagi meraikan Hari Kemerdekaan.

"Setiap tahun kami memang tak terlepas untuk sambut Hari Kemerdekaan bersama keluarga. Untuk tahun ini saya memang tempah khas untuk baju anak.

"Harga bagi setiap uniform bernilai RM500, jadi walaupun terpaksa belanjakan RM1,000, saya tetap rasa berbaloi.

"Kami dah berkampung di Putrajaya sejak jam 3 pagi untuk siap sedia ikuti acara perbarisan," katanya.

Telatah dua cahaya mata pesara tentera itu juga mencuit hati pengunjung apabila melakukan aksi 'tabik hormat' setiap kali lensa kamera orang ramai dan juga petugas media terarah kepada mereka.

Luth Adrian Iskandar dan Noah Aryan Iskandar yang masing-masing berusia enam dan lima tahun mengenakan pakaian seragam Tentera Udara Malaysia (TUDM) bersama senjata mainan.

Ditanya sama ada anaknya bakal meneruskan legasinya dalam pasukan keselamatan negara, Rosli berkata ia bergantung kepada minat anaknya apabila dewasa kelak.

Artikel Berkaitan:

Rosli sebelum ini merupakan bekas anggota TUDM berkhidmat dalam Unit Pasukan Khas bagi agensi tersebut.

Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 melabuhkan tirai sekitar jam 10.45 pagi, disusuli dengan keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sambutan kekal meriah apabila pengunjung dilihat tidak berganjak dari lokasi mereka meskipun cuaca agak panas di Dataran Putrajaya.

Selain perbarisan kehormat, acara pertunjukan udara daripada aset-aset ketenteraan negara antara yang menjadi tumpuan pengunjung yang sanggup menanti sejak awal pagi. - Awani