Remaja 14 tahun antara 695 individu ditahan

Antara motosikal diperiksa dalam Ops Samseng Jalanan sempena Ambang Merdeka di Pokok Sena,di sini bermula malam Rabu.
Antara motosikal diperiksa dalam Ops Samseng Jalanan sempena Ambang Merdeka di Pokok Sena,di sini bermula malam Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Keterujaan sesetengah penunggang motosikal meraikan malam Ambang Merdeka terbantut apabila ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan di Pokok Sena, di sini malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, seorang remaja berusia 14 tahun antara 695 individu yang ditahan dalam operasi bermula jam 10 malam hingga jam 10 pagi Khamis itu.

Beliau memaklumkan, operasi besar-besaran terbabit melibatkan 70 anggota daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Setar dan lain-lain cawangan.

"Pegawai dan anggota polis melakukan pemeriksaan terhadap 695 individu yang berkumpul di kawasan Pokok Sena. Daripada jumlah itu, 578 motosikal diperiksa untuk tindakan lanjut.

"Sejumlah 481 saman pelbagai kesalahan turut dikeluarkan dan 117 motosikal disita kerana pelbagai kesalahan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dilakukan adalah tidak mempunyai lesen, menunggang di bawah umur dan mengubah suai motosikal.

"Mereka yang ditahan kemudian dibebaskan selepas keterangan diambil.

"Kesemua motosikal dibawa ke Balai Polis Trafik IPD Kota Setar untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan: