Ringgit ditutup mengukuh berbanding dolar AS

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

RINGGIT mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Rabu ketika pelabur kekal dengan sentimen berhati-hati dalam meneliti data ekonomi negara maju tersebut, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.6365/6405 berbanding dolar AS daripada 4.6445/6475, semalam.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, para pelabur akan memantau Indeks Perbelanjaan Penggunaan Peribadi Teras (PCE) AS pada Khamis dan seterusnya data Penggajian Bukan Perladangan pada Jumaat yang boleh memberi kesan terhadap pasaran mata wang.

"Petunjuk data itu penting bagi kadar tukaran asing dan prospek berkaitan dolar AS memandangkan ia akan menjadi pemangkin utama dalam (keputusan) dasar monetari pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS September ini,” katanya kepada Bernama.

Sewaktu ditutup, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit susut berbanding euro kepada 5.0482/0526 daripada 5.0221/0253 pada akhir urus niaga semalam dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.8684/8735 daripada 5.8590/8628, namun mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.1679/1708 daripada 3.1688/1711, semalam.

Pada masa sama, ringgit diniagakan lebih mengukuh berbanding mata wang Asean yang lain.

Unit tempatan itu meningkat sedikit berbanding dolar AS kepada 3.4278/4311 daripada 3.4297/4322 semalam dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.2094/2268 daripada 13.2171/2324.

Artikel Berkaitan:

Ringgit juga meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 304.1/304.6 daripada 304.3/304.7 semalam dan naik berbanding peso Filipina kepada 8.17/8.18 daripada 8.18/8.19, sebelum ini. - Bernama