MPM berperanan kemuka idea inovasi institusi masjid

Sultan Nazrin menyempurnakan Penyerahan Watikah Ahli MPM Negeri Perak kepada Mohd Annuar di Dewan Al-Ghazali, Kompleks Islam Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Sultan Nazrin menyempurnakan Penyerahan Watikah Ahli MPM Negeri Perak kepada Mohd Annuar di Dewan Al-Ghazali, Kompleks Islam Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Majlis Perundingan Masjid (MPM) yang pertama kali ditubuhkan di Perak akan berperanan mengemukakan idea-idea bernas menginovasi institusi masjid.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, MPM tercetus daripada Program Percambahan Minda anjuran MAIPk di Bukit Merah Lake Town Resort pada 28 Januari 2022.

Menurutnya, ahli MPM terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti agamawan, profesional, belia dan wanita bagi membantu memajukan institusi masjid di samping membantu memberi idea menyelesaikan pelbagai masalah dalam kariah masjid.

"Objektif penubuhan MPM ini adalah untuk mewujudkan satu badan syura atau perundingan untuk membolehkan berlangsungnya percambahan minda untuk kemajuan dan pembangunan masjid.

"MPM hendaklah menjalankan fungsi dan tanggungjawab untuk membantu menyumbang idea dan pandangan, mengupas serta memberi maklum balas berhubung dasar-dasar sedia ada dan dasar-dasar baharu berkaitan masjid," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelasnya, dasar-dasar tersebut meliputi pentadbiran masjid, pengurusan kewangan masjid, aktiviti-aktiviti masjid dan perkara-perkara lain berkaitan masjid.

Sementara itu, Shahrul Azam yang juga Setiausaha MPM berkata, MPM dipengerusikan oleh Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini dan dianggotai dua orang ahli yang dilantik oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah serta tiga orang ahli atas nama jawatan iaitu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan yang memegang portfolio hal ehwal agama Islam, Mufti Perak dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak.

Menurutnya, lebih 50 orang ahli mewakili masjid seluruh daerah di Perak turut dilantik yang mengandungi tidak kurang 10 orang dalam usia belia dan tidak kurang 10 orang dalam kalangan wanita.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikah Ahli MPM Negeri Perak di Dewan Al-Ghazali, Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Pada majlis itu, baginda turut berkenan menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MAIPk dan UDA Holdings Berhad bagi pembangunan tanah-tanah wakaf dan baitulmal di negeri Perak, latihan amali, pelatih pengurusan dan penempatan pekerjaan kepada asnaf yang layak serta keusahawanan termasuklah penyewaan ruang niaga dan peluang pemasaran produk asnaf.

Selain itu, MoU itu turut melibatkan Pengurusan Fasiliti Bersepadu Solar dan Kontrak Prestasi Tenaga.