'Biar pimpinan parti tentukan pengerusi baharu Bersatu Johor'

Osman (dua,kiri) menyampaikan sumbangan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) kepada asnaf di kawasannya dalam Program Sehari PKM Bersama Masyarakat di Kg Melayu Sri Kempas 2 di sini hari ini.
Osman (dua,kiri) menyampaikan sumbangan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) kepada asnaf di kawasannya dalam Program Sehari PKM Bersama Masyarakat di Kg Melayu Sri Kempas 2 di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Osman Sapian menyerahkan kepada pimpinan parti bagi menentukan siapa pengerusi baharu susulan dakwaan 21 ketua bahagian menolak pelantikan ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang.

Menurut Osman, beliau sendiri mempengerusikan mesyuarat 21 ketua bahagian itu dan mereka mahu pimpinan parti menimbang kembali keputusan lantikan tersebut.

"Bukan saya (bawa) tapi 21 ketua bahagian yang bawa. Saya masih lagi Pengerusi Bersatu Johor sehingga 25 Mei ini jadi saya kena pengerusikan mesyuarat itu atas kehendak semua. Saya pun tak nak pengerusikan mesyuarat itu.

"Kita dah hantar memorandum dan 21 ketua bahagian sudah mengatakan supaya pengerusi bawa ke Majlis Presiden untuk difikirkan kembali," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Sehari PKM Bersama Masyarakat di Kampung Melayu Sri Kempas 2 di sini hari ini.

Menurutnya, beliau dimaklumkan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menerima memorandum itu ada memberi respons seolah-olah akur dengan inti memo bantahan tersebut.

"Setelah jumpa dengan Tun (Dr Mahathir) dan dah terima memorandum itu, beliau kata 'kalau ini caranya, terpulang kepada orang Johorlah'.

"Jadi kita tunggu keputusan 25 Mei ini lah melalui Majlis Presiden. Kalau keputusan kata kekal seperti yang dinyatakan sebelum ini (Mazlan sebagai Pengerusi Bersatu Johor), kita akurlah. Sebagai ahli parti kita akur dengan apa-apa keputusan," katanya yang mewakilkan bekas setiausaha politiknya menghantar memorandum itu.

Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal mengesahkan 23 ketua bahagian telah menghantar memorandum kepada Dr Mahathir namun beliau tidak mendedahkan isi kandungan memorandum tersebut.

Artikel Berkaitan:

Minggu lalu, Dr Mahathir mengesahkan Mazlan sebagai Pengerusi Bersatu Johor yang baharu berkuatkuasa 25 Mei ini.

Namun keputusan itu ditolak 23 ketua bahagian parti di negeri ini yang dilaporkan mahu Dr Sahruddin dilantik sebagai pengerusi di Johor.

Dalam pada itu, Osman turut menegaskan apa sahaja arahan parti perlu dituruti demi kelangsungan parti sebagai kerajaan di negara ini.

"Kerajaan PH baru setahun, nak kukuhkan parti supaya menjadi kerajaan seterusnya apa yang perlu ialah kukuhkan parti sebagaimana saranan PM. Parti itu bukan hanya Bersatu tapi semua parti dalam PH mesti diperkukuhkan jangan bercelaru.

"Apa-apa yang disuruh parti atau kepimpinan, kita kena akur. Macam saya, rasa saya tak boleh, saya letak jawatan (Menteri Besar Johor). Buat apa kita dah tak boleh, nak teruskan juga?

"Akhirnya kita tak akur dengan keputusan parti. Biarlah cari orang yang ada kemampuan untuk teruskan. Parti akan terus hidup, kita boleh datang dan pergi," katanya.

Akui Bersatu memiliki isu dalaman namun katanya pergolakan itu demi mengukuhkan parti bukan memusnahkan parti.

"Kalau parti tu bergolak, bagus. Sebab orang minat, masing-masing nak pegang jawatan. Kalau parti itu sejuk, tiada pergolakan, macam parti tidak diterima orang.

"Ini bukan pergolakan boleh memusnahkan parti. Dia rasa berkredibiliti, boleh (memimpin) dia cubalah. Dapat tak dapat, ahli yang tentukan," katanya