Penganggur didakwa cederakan jiran guna pengunci stereng

Ahmad (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada Rabu, kerana didakwa memukul jiran hingga parah menggunakan batang pengunci stereng kereta.
Ahmad (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada Rabu, kerana didakwa memukul jiran hingga parah menggunakan batang pengunci stereng kereta.
A
A
A

MELAKA - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu kerana didakwa memukul jiran hingga parah menggunakan batang pengunci stereng kereta.

Tertuduh, Ahmad Baba, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, Ahmad didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera parah terhadap Zulhelmi Md Yusof, 42, dengan menggunakan batang pengunci stereng kereta sepanjang 54 sentimeter yang mana senjata tersebut jika digunakan dengan salah boleh menyebabkan kematian.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah, Jalan Kesidang 2/17, Lorong Pandan di sini, kira-kira jam 6.22 petang pada 22 Ogos lalu.

Pertuduhan itu dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang mana tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana tertuduh merupakan jiran kepada mangsa dan memohon tarikh baharu untuk serahan laporan perubatan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan dan mempertahankan tindakan yang dilakukan kerana ketika itu nyawanya turut diancam oleh mangsa.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan tarikh 24 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan: