[VIDEO] '30 tahun berlalu, tapi macam semalam suami terkorban' - Isteri anggota Malbatt

A
A
A

BALING - Misi operasi tentera Malaysia membantu menyelamatkan tentera Amerika Syarikat terperangkap dalam perang saudara di Somalia sehingga mengorbankan seorang anggota Pasukan Pengaman Malaysia (Malbatt 1), Allahyarham Koperal Mat Aznan Awang sudah berlaku 30 tahun lalu.

Isteri Allahyarham Mat Aznan, Siti Zauyah Yahya, 57, berkata, kejadian yang berlaku sekitar Oktober 1993 turut menyaksikan sembilan lagi tentera cedera membuktikan mereka adalah wira negara kerana menggadai nyawa memikul tanggungjawab dan amanah yang diberikan.

"Sudah nak masuk 30 tahun Oktober ini, macam baru semalam berlaku. Jenazah arwah sampai di sini sembilan hari (selepas terkorban di Somalia) tapi keadaan dia memang baik, tidak nampak yang terjejas, muka elok dan terdapat percikan api peluru ada di muka, masa sampai buka kain untuk tatapan keluarga.

"Saya gosok dada arwah, darah masih segar, mereka balut dengan plastik dan kafankan. Jenazah masih elok macam baru meninggal," katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Limau di sini pada petang Selasa.

Siti Zauyah menunjukkan gambar terakhir mereka sekeluarga sebelum Allahyarham suaminya menyertai misi pengaman di Somalia pada 1993.
Siti Zauyah menunjukkan gambar terakhir mereka sekeluarga sebelum Allahyarham suaminya menyertai misi pengaman di Somalia pada 1993.

Allahyarham Mat Aznan terkorban dalam pertempuran di Bakara Market atau dikenali sebagai Black Hawk Down dalam satu misi berani mati Malbatt 1 menyelamatkan 70 tentera Ranger dan Delta Force Amerika Syarikat di Mogadishu, Somalia sekitar Oktober 1993.

Allahyarham maut sewaktu kenderaan APC yang dipandunya ditembak dengan senjata anti kereta kebal dari arah hadapan menembusi cermin kalis peluru sehingga mengenai bahunya, manakala sembilan lagi cedera.

Siti Zauyah berkata, kisah tersebut yang telah difilemkan dalam Malbatt: Misi Bakara dan sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara memberikan gambaran apa yang berlaku pada malam kejadian sehingga dunia mengetahui keberanian dan keperwiraan tentera Malaysia dalam operasi tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, walaupun kehilangan seorang suami dalam operasi tersebut, dia tetap berbangga malah semua pesanan arwah agar membesarkan dua cahaya mata mereka termasuk memberikan pendidikan agama dan akademik telah ditunaikannya sebaik mungkin.

Siti Zauyah menziarahi pusara Allahyarham suaminya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Panjang, Baling pada petang Selasa.
Siti Zauyah menziarahi pusara Allahyarham suaminya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Panjang, Baling pada petang Selasa.

Anak sulung mereka, Nor Azlinda, 37, berjaya mengikut jejak bapanya menjadi anggota tentera dan berkhidmat sebagai Jurulatih Kanan Kor Perkhidmatan Am, 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Lapangan Terbang di Sungai Layar di Sungai Petani.

Anak keduanya pula, Nur Hashimah, 34, pula pernah memohon untuk menyertai badan uniform berkenaan namun gagal pada ujian ketiga dan kini menjalankan perniagaan di Baling.

"Saya menggalakkan anak-anak jadi tentera dan boleh sambung warisan pekerjaan arwah ayah mereka," ujarnya yang berulang kali menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pertahanan kerana menghargai jasa dan pengorbanan Allahyarham suaminya selama ini.

Siti Zauyah bersama anak keduanya dan cucu menziarahi pusara Allahyarham Mat Aznan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Panjang, Baling pada petang Selasa.
Siti Zauyah bersama anak keduanya dan cucu menziarahi pusara Allahyarham Mat Aznan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Panjang, Baling pada petang Selasa.

Tambahnya, Allahyarham Mat Aznan yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Panjang, dekat sini juga adalah seorang bapa penyayang dan sentiasa meluangkan masa bersama dua anak perempuannya pada waktu lapang.

"Saya masih ingat arwah selalu bawa anak-anak ronda dengan basikal bila tidak sibuk. Arwah pun peramah dan suka melawak. Kadang-kadang dengan anaknya pun dia suka melawak," katanya.