China lancar kapal perang generasi baharu

China sebelum ini sudah mempunyai frigat Type 054A yang juga dikenali sebagai Jiangkai-II. - Foto Agensi
China sebelum ini sudah mempunyai frigat Type 054A yang juga dikenali sebagai Jiangkai-II. - Foto Agensi
A
A
A

BEIJING - China melancarkan kapal perang generasi baharu yang dinamakan Type 054B di Shanghai minggu lalu dengan pemerhati menjangkakan ia sebagai frigat serba boleh serta kos efektif untuk operasi laut.

Type 054B yang pertama dilancarkan di Limbungan Hudong Zhonghua, lapor laman sesawang The Drive yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

The Drive mengulas bahawa frigat itu sebagai salah satu kapal Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) masa depan yang penting dan percaya Type 054B berkemungkinan kesinambungan daripada Type 054A (Jiangkai-II) kerana dijangka melaksanakan misi peperangan antikapal selam dan peperangan permukaan ke udara.

Laporan itu menambah bahawa Type 054B dilengkapi meriam utama 100 milimeter (mm) baharu, menggantikan meriam utama 76mm Type 054A dan menawarkan lebih banyak julat serta kuasa.

"Peningkatan ini membolehkan Type 054B melaksanakan misi pengeboman laut dan pantai dengan lebih baik, menguatkan kehebatan tempurnya dan keupayaan serangan yang pelbagai," menurut laporan tersebut.

China belum mengumumkan secara rasmi pelancaran frigat baharu itu atau butirannya, termasuk nama dan keupayaannya.

Sementara itu, seorang pakar tentera China yang enggan namanya disiarkan memberitahu Global Times bahawa sudah menjadi perkara biasa bagi Beijing membangunkan kapal baharu di tengah-tengah perkembangan teknologi.

"Laporan media luar negara mungkin tidak tepat tetapi lebih banyak butiran boleh muncul kerana kapal itu akhirnya akan memasuki perkhidmatan.

Artikel Berkaitan:

"Ia boleh dihasilkan secara besar-besaran sama seperti frigat Type 054A dan pemusnah Type 052D kerana ia dijangka mengiringi kapal pengangkut pesawat, kapal amfibia dan pemusnah dalam pelayaran laut jauh," katanya. - Agensi