Jualan buku serendah RM2

SHAH ALAM - Jualan buku serendah RM2 antara tawaran menarik yang disediakan untuk pengunjung Jualan Gudang Karangkraf pada 31 Ogos hingga 10 September ini.
Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd, Izzat Izhar Muhammad Nasir berkata, pada jualan gudang kali ini Karangkraf menawarkan penjualan lima buku pada harga RM10.
“Maknanya, harga satu buku itu adalah serendah RM2. Jadi diharap orang ramai tidak melepaskan peluang berharga ini kerana ia sangat berbaloi,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Menurutnya, Jualan Gudang Karangkraf kali kedua tahun ini juga dijangka lebih meriah kerana bakal tampil dengan 100 naskhah buku baharu yang menanti pengunjung.