[VIDEO] Kreativiti penduduk Kampung Chulek sambut merdeka

A
A
A

GOPENG - Semangat patriotik ditonjolkan penduduk Kampung Chulek di sini apabila tampil kreatif menghias halaman rumah dengan Jalur Gemilang bagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Menerusi program Halaman Rumah Merdeka anjuran Gopeng Glamping Park itu, sebanyak 35 rumah mengambil bahagian dengan setiap satunya dihiasi binaan antaranya menara berkembar, kereta kebal, jet pejuang, wau, meriam dan bunga raya menggunakan Jalur Gemilang dan bahan terpakai.

Penduduk, Fatimah Hassan, 74, berkata, tahun ini kelainan dilakukan dengan membina satu replika Jambatan Pulau Pinang sebagai simbolik negeri kelahiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Fatimah menunjukkan replika Jambatan Pulau Pinang yang dipasang bagi memberi kelainan sempena program Halaman Rumah Merdeka.
Fatimah menunjukkan replika Jambatan Pulau Pinang yang dipasang bagi memberi kelainan sempena program Halaman Rumah Merdeka.

Menurutnya, idea itu diilhamkan anak dan menantunya yang kemudian menghasilkan jambatan menggunakan batang paip PVC, polisterin dan wayar keluli tahan karat.

"Kalau ikut tahun lepas, ramai buat menara berkembar dan kereta kebal, jadi tahun ini kita lari daripada kebiasaan, itu yang dapat hasilkan jambatan Pulau Pinang.

"Hiasan lain ada juga seperti wau dan keris yang diukir menggunakan kayu, gubahan bunga raya yang diletakkan dalam bekas sabun dan periuk," katanya.

Mohd Kamil Hindin, 63, pula berkata, pengalaman penyertaan tahun lepas membuatnya menambah koleksi hiasan merdeka menerusi replika roket, kapal terbang, kereta tank dan bendera 14 negeri.

Artikel Berkaitan:

Pesara kerajaan itu juga menggunakan kreativiti tersendiri apabila mencipta buaian pusing dipenuhi Jalur Gemilang.

"Saya bekerja sebagai kakitangan sekolah dah 38 tahun, jadi jiwa itu saya bawa ke sini supaya pelajar-pelajar dapat tengok macam mana semangatnya kita nak sambut merdeka," katanya.

Rumah pusaka berusia lebih 60 tahun itu telah dinobatkan sebagai juara Halaman Rumah Merdeka tahun lalu.

Mahathir (kiri) bersama Mohamad Razali selaku ketua juri sempena program Halaman Rumah Merdeka Kampung Chulek.
Mahathir (kiri) bersama Mohamad Razali selaku ketua juri sempena program Halaman Rumah Merdeka Kampung Chulek.

Bagi Fauziah Kamarudin, 60, tidak kisah berhabis hingga RM500 untuk memastikan kediaman mereka ceria menyambut merdeka.

Katanya, suami dan anak lelakinya turut menyediakan sudut galeri yang memaparkan tokoh pejuang kemerdekaan dan sejarah pemimpin negara bermula era Perdana Menteri Malaysia pertama hingga ke-10.

"Ini semua idea anak bongsu saya, dialah yang paling bersemangat buat macam-macam sampaikan sanggup kutip botol minuman terbuang, dicantum-cantum menjadi menara berkembar.

"Menang kalah itu nombor dua, yang penting kita sama-sama dapat bawa semangat kemerdekaan melalui cara hiasan rumah ini," katanya.


Fatimah Abd Kadir, 78, menunjukkan hiasan daripada bakul terpakai di hadapan rumahnya di Kampung Chulek sempena program Halaman Rumah Merdeka.
Fatimah Abd Kadir, 78, menunjukkan hiasan daripada bakul terpakai di hadapan rumahnya di Kampung Chulek sempena program Halaman Rumah Merdeka.

Sementara itu, Pengarah program Halaman Rumah Merdeka, Muhammad Nur Azzam Mohd Azman berkata, penganjuran masuk tahun kedua kali ini lebih meriah berbanding tahun lalu seramai 27 peserta.

Jelas beliau, hadiah utama yang disediakan juga ditambah daripada RM1,000 tahun lalu kepada RM1,300 tahun ini ditempat pertama, kedua (RM1,000) dan ketiga (RM500).

"Semua peserta turut berpeluang memenangi 35 hadiah cabutan bertuah berupaa peralatan elektrik antaranya televisyen, peti sejuk dan mesin basuh," katanya.

Ketua Kampung Chulek, Mahathir Mohd Ramli selaku juri yakin, program itu dapat mendorong usaha positif ke arah memimpin anak muda menghargai kemerdekaan negara.

Penghulu Mukim Teja, Mohamad Razali Hashim berharap, penganjuran sambutan kemerdekaan seumpama itu dapat diperluaskan tahun hadapan dengan penyertaan lebih ramai pengusaha pelancongan.

"Kat sinilah kita dapat lihat betapa semangatnya penduduk kampung menghias rumah dengan kreativiti masing-masing. Memang wajar kampung-kampung lain anjurkan program yang sama," katanya.

Mohd Kamil di hadapan rumahnya di Kampung Chulek yang dihiasi Jalur Gemilang dengan kreatif sempena program Halaman Rumah Merdeka.
Mohd Kamil di hadapan rumahnya di Kampung Chulek yang dihiasi Jalur Gemilang dengan kreatif sempena program Halaman Rumah Merdeka.