Dua gergasi World Team congak strategi baharu

Astana antara pasukan yang sekali lagi bakal mencuri tumpuan pada LTdL 2023.
Astana antara pasukan yang sekali lagi bakal mencuri tumpuan pada LTdL 2023.
A
A
A

BERBAKI kurang sebulan sebelum dilangsungkan, bahang kehangatan perlumbaan jelajah berbasikal terulung Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 semakin dirasai apabila beberapa pasukan handalan mula mencongak strategi masing-masing.

Dua pasukan bertaraf World Team - Astana Qazaqatan dari Kazakhstan dan EF Education Easypost (Amerika Syarikat) dikhabarkan membuat pertukaran barisan pelumba mereka dalam misi menawan LTdL edisi ke-27 kali ini.

Malah, pasukan pilihan dari Sepanyol, Euskaltel-Euskadi yang berstatus ProTeam turut dikatakan menukar seorang pelumba (climber) lebih ampuh sekalipun sebelum ini telah mengesahkan akan menghantar enam pendaki terbaiknya.

Ketua Pegawai Operasi LTdL 2023, Emir Abdul Jalal berkata, pertukaran pelumba dalam kalangan ketiga-tiga pasukan itu bakal menjanjikan saingan lebih sengit pada perlumbaan LTdL 2023 yang dijadualkan bermula dari 23 hingga 30 September ini.

EMIR
EMIR

“Keputusan Majlis Sukan Negara (MSN) selaku penganjur yang mengumumkan senarai pasukan dalam sidang akhbar minggu lalu, ternyata berjaya apabila beberapa pasukan membuat perubahan dalam senarai pelumba mereka.

“Apa yang saya boleh katakan setakat ini, tiga pasukan utama seperti Astana, EF Education dan Euskaltel-Euskadi telah menukar pelumba masing-masing daripada senarai awal yang diberikan kepada kami.

“Ini satu perkembangan positif. Ia juga membuktikan ketiga-tiga pasukan itu cukup serius bagi megharungi perlumbaan LTdL tahun ini apabila mereka sanggup membuat pertukaran pelumba,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Pada LTdL 2023, sebanyak 22 pasukan bakal mengambil bahagian diketuai Astana dan EF Education, manakala Euskaltel-Euskadi antara lapan pasukan ProTeam selain 11 pasukan benua termasuk Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) dan skuad kebangsaan Malaysia.

Pada masa sama, Emir berkata, Astana - antara pasukan yang sering mendapat tumpuan bakal mempertaruhkan dua pakar pecut (sprinter) dalam usaha menyambar Jersi Hijau selaku Jaguh Pecut.

“EF Education pula lebih memberi fokus untuk memenangi gelaran juara keseluruhan (Jersi Kuning) dan Jersi Merah (Raja Bukit), manakala Euskaltel-Euskadi memburu gelaran di laluan pendakian di Genting Hinglands dan Peringkat 3.

“Jadi sudah tentu strategi baharu yang dibuat ketiga-tiga pasukan itu akan turut menambat perhatian pasukan lain untuk turut sama-sama membuat perancangan mereka dalam misi memburu kemenangan pada LTdL nanti,” jelasnya.

LTdL 2023 yang melibatkan jarak keseluruhan sejauh 1,280 kilometer (km) akan bermula peringkat pertama di Kerteh, Terengganu dan berakhir peringkat kelapan di Kuala Lumpur.