Malaysia mampu bersaing pada Kejohanan Bola Sepak Pekak Dunia

Muhamad Haris ketika ditemui media pada majlis memperkenalkan skuad bola sepak pekak Malaysia dan para penaja sempena Kejohanan Bola Sepak Pekak Dunia di Subang Jaya pada Selasa. - Foto Bernama
Muhamad Haris ketika ditemui media pada majlis memperkenalkan skuad bola sepak pekak Malaysia dan para penaja sempena Kejohanan Bola Sepak Pekak Dunia di Subang Jaya pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KETUA jurulatih bola sepak pekak negara, Muhamad Haris Lajid percaya anak buahnya mampu memberi tentangan sengit pada Kejohanan Bola Sepak Pekak Dunia 2023 yang akan berlangsung di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor bermula 23 September hingga 7 Oktober depan.

Muhamad Haris berkata, keyakinan itu hadir selepas pasukannya menunjukkan prestasi memberangsangkan pada empat fasa latihan intensif yang dijalankan dalam negara sejak Jun lalu.

Beliau memaklumkan, aksi persahabatan bersama beberapa kelab bola sepak normal yang dijalankan juga pasti memberi nilai tambah dalam memperkuatkan jentera serangan mereka untuk mencatat kemenangan pada kejohanan julung kali disertai pasukan negara itu.

"Satu penghargaan buat pasukan Malaysia apabila dapat bermain buat pertama kali dalam kejohanan peringkat dunia ini menerusi tiket 'wildcard' selaku tuan rumah. Setakat yang saya tahu undian pasukan hanya akan keluar Khamis ini.

"Jadi kami memang sudah giat menjalani latihan mengikut fasa sejak Jun lepas. Fasa pertama di ibu negara, diikuti Kelantan, Terengganu dan kembali di ibu negara bagi fasa terakhir untuk memperkemaskan corak permainan kami," katanya.

Pengendali berusia 60 tahun itu berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Memperkenalkan Skuad Bola Sepak Pekak Malaysia dan Penaja di Subang Jaya pada Selasa.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, yang turut hadir pada majlis berkenaan berharap pemain 'istimewa' itu dapat mempamerkan semangat juang tinggi bagi memastikan Jalur Gemilang berkibar megah di pentas dunia.

Adam Adli turut melahirkan harapan agar semua pihak terus memberi sokongan kepada skuad bola sepak pekak negara bagi memastikan mereka terus bersemangat untuk mempamerkan prestasi terbaik pada kejohanan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kali pertama (kejohanan ini) diadakan di Asia, jadi ia pencapaian awal yang boleh dibanggakan. Saya pasti ia beri impak baik dalam kalangan sukan orang pekak," katanya.

Kejohanan Bola Sepak Pekak Dunia edisi keempat bakal menyaksikan penyertaan 20 pasukan lelaki dan lima wanita.

Sebanyak 14 padang bola dan stadium akan digunakan sepanjang kejohanan berkenaan termasuk Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Stadium Universiti Malaya, Stadium Universiti Putra Malaysia dan beberapa lokasi lain. - Bernama