Jadikan #SaySomethingNice agenda kehidupan

Hussamuddin menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Kempen Rasuah Busters #saySomethingNice di Shah Alam, pada Selasa.
Hussamuddin menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Kempen Rasuah Busters #saySomethingNice di Shah Alam, pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia diajak supaya menjadikan #SaySomethingNice sebagai agenda dalam kehidupan seharian bagi memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, usaha ini perlu dimulakan semua pihak sekiranya ingin melihat negara terus bergerak ke hadapan.

"Kalau kita hendak selamatkan negara, rakyat harus mulakan gerakan dengan berbaik-baik (berkata perkara baik) dengan orang terdekat dahulu. Kita di pihak Rasuah Busters amat menyokong kempen seumpama ini.

"Jadi, kita kena terapkan kempen ini dalam diri seluruh rakyat supaya semua dapat hidup aman dan harmoni serta saling menghormati antara sama lain. Asas berbaik-baik ini ialah bercakap dengan baik. Jangan hina, jangan fitnah dan sebagainya.

"Saya juga berharap kempen ini bukan hanya diamalkan pada bulan kemerdekaan semata-mata tetapi turut diteruskan pada hari-hari biasa," katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Rasuah Busters #saySomethingNice di Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.

Tambahnya, rakyat juga perlu menolak mana-mana pemimpin yang bertindak melaga-lagakan rakyat demi kepentingan tertentu serta tidak mempunyai nilai integriti.

Penolakan ini, katanya, perlu bagi membina semula negara yang tercemar dengan perbuatan rasuah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Insya-ALLAH negara kita akan dapat dipulihkan dan masa depan akan kembali (bersinar) sekiranya kita tolak mereka yang terlibat rasuah, melaga-lagakan rakyat dan sebagainya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, asas kepada kemajuan dan pembangunan negara yang baik adalah dengan memilih pemimpin yang jujur dan meletakkan kepentingan rakyat sebagagi keutaman.

Kempen Rasuah Busters #saysomethingnice akan bermula pada 31 Ogos sehingga 16 September ini.

Pasukan #RasuahBusters berkolaboratif dengan Pengarah Urusan Zubedy (M) Sdn Bhd, Anas Zubedy yang telah lebih 10 tahun menggiatkan kempen berkenaan bersempena Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Kempen yang mengangkat tema 'berpada-pada dan maju ke hadapan' pada tahun ini turut bekerjasama dengan Persatuan Animasi Malaysia (Animas).