'Video tersebut tak ada sangkut paut dengan saya' - Sanusi

Muhammad Sanusi. Tangkap layar video yang didakwa majlis sambutan kepada MB Kedah di Johor, yang tular melalui laman sosial TikTok.
Muhammad Sanusi. Tangkap layar video yang didakwa majlis sambutan kepada MB Kedah di Johor, yang tular melalui laman sosial TikTok.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan tiada program sambutan besar-besaran dianjurkan Perikatan Nasional (PN) di Johor bagi menyambut kehadiran beliau pada minggu lalu.

Beliau berkata, video tular yang memaparkan sambutan yang dikaitkan dengan dirinya itu adalah tidak benar.

Menurutnya, video berkenaan tiada kaitan dengan dirinya biarpun telah disunting pihak tertentu dengan memasukkan perkataan ‘Sambutan kepada MB Kedah di Johor’.

“Video tersebut tak ada sangkut paut dengan saya, saya pun tak pernah tengok video tular itu sebelum ini,” katanya di sini pada Selasa.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu sebaliknya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan berkaitan video yang tular melalui laman sosial TikTok itu.

Pada Isnin, Polis Johor menafikan terdapat sebarang penganjuran sambutan untuk Muhammad Sanusi di Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat memaklumkan hasil siasatan pihaknya mendapati video mengandungi dakwaan tersebut sebenarnya berkaitan program KL Munajat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, pada 15 Julai lalu.

Video berkenaan telah disunting dengan memasukkan sorakan 'luaskan kuasamu Johor' untuk perkongsian pengguna media sosial lain. Sehubungan itu, polis membuka kertas siasatan dan sedang mengesan individu bertanggungjawab bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, Muhammad Sanusi hadir pada pelancaran jentera dan pengisytiharan calon PN di Markas Pas Bakri yang turut dihadiri Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Hadir sama, Pengerusi PN Johor, Datuk Datuk Dr Sahruddin Jamal; Pengerusi PN merangkap Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.