Butod menggelikan tapi enak dimakan

Eron menikmati keenakan butod dalam cabaran makan butod di Rumah Kebudayaan Koisaan, Penampang pada program Program Asian Games Nation Drive anjuran Proton. Gambar kecil: butod
Eron menikmati keenakan butod dalam cabaran makan butod di Rumah Kebudayaan Koisaan, Penampang pada program Program Asian Games Nation Drive anjuran Proton. Gambar kecil: butod
A
A
A

KOTA KINABALU - Gerakan ulat yang meliuk-liuk di tapak tangan sudah tentu menggelikan apatah lagi dimasukkan ke dalam mulut, dikunyah mentah-mentah dan dimakan begitu sahaja.

Namun bagi sesetengah masyarakat Kadazandusun, butod atau ulat sagu bukan makanan yang mengembangkan tekak sebaliknya ia merupakan makanan yang enak bagi penggemar makanan eksotik.

Cabaran makan butod mentah antara aktiviti yang diadakan oleh Proton Holdings Bhd (Proton) sempena Program Asian Games Nation Drive di Sabah bagi menghangatkan temasya Sukan Asia Ke-19 2022 Hangzhou yang akan berlangsung di China pada bulan depan.

Pengurus Proton Sabah, Eron Constantine berkata, siri jelajah itu menampilkan pelbagai aktiviti berunsurkan budaya di Sabah di samping mencari kraftangan jenis Pinakol (rantai leher) untuk dibawa ke Hangzhou susulan Proton terpilih sebagai kenderaan rasmi semasa penganjuran sukan tersebut.

Menurutnya, salah satu aktiviti yang dilakukan ialah cabaran memakan butod ketika lawatan ke Rumah Kebudayaan Perkampungan Budaya Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang.

"Peserta diberi peluang untuk merasai sendiri keunikan pelbagai budaya dan makanan tradisi di Sabah. Salah satunya ialah memakan butod.

"Memandangkan ia merupakan makanan tradisi bagi masyarakat Kadazandusun, saya sendiri memakannya," katanya pada program itu baru-baru ini.

Ditanya mengenai keunikan rasa butod itu sendiri, Eron berkata, makanan eksotik itu mempunyai tekstur yang lembut dan ia memang sejenis ulat tetapi boleh dimakan begitu saja.

"Rasanya sedap berlemak, berjus dan juga kadang-kadang terasa seperti makan ayam. Butod adalah makanan tradisi bagi kami berbangsa Sino Kadazan.

"Memang biasa bagi kami sebab ini makanan tradisi. Cuma biasanya butod ini digoreng dan boleh dimakan bersama makanan lain sebagai hidangan sampingan," katanya.

Sementara itu, penduduk kampung dari Kuala Penyu, Fridseng Jineu yang terlibat menganjurkan pertandingan makanan tradisi berkata, ulat butod terhasil daripada pokok rumbia yang sedang mereput.

"Pokok rumbia yang ditebang untuk diambil sagunya akan dibiarkan selama lebih sebulan supaya ulat itu boleh membiak di dalam pokok yang reput.

"Butod boleh juga dimasak tumis kering, dicampur cili atau rempah kari sebagai perasa. Kalau di kampung dimakan bersama keluarga dan dibuat lauk sampingan," katanya.

Sebelum itu, program Asian Games Nation Drive menampilkan model siri X Proton X90 sebagai kenderaan rasmi bagi pengamal media di Sabah yang menyertai program terbabit.

Perjalanan dari Putatan ke Kundasang, Ranau dan Bukit Kokol, Kota Kinabalu sejauh 240 kilometer selama dua hari memberi pengalaman pemanduan mencabar tetapi selamat dengan menggunakan kenderaan siri X Proton termasuk X50 dan X70.

Hadir sama pada program itu ialah Timbalan Pengarah Komunikasi Pemasaran dan Pengaktifan Proton, Steven Zhou Qi.